KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh)- PAS sedang berbincang dengan peguamnya untuk memutuskan apakah bentuk tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas TV3, setelah stesen televisyen itu memfitnahnya dalam berita Buletin Utama malam tadi.
Setiauasaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, tuduhan TV3 bahawa PAS menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob dengan hanya meletakkan surat itu di bawah pintu pejabat Khalil amat mengejutkan PAS.
Ini kerana, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan mencemarkan imej dan nama baik beliau sebagai Setiausaha Agung PAS yang diamanahkan untuk menguruskan pentadbiran PAS dengan baik.
Katanya, surat kepada Tan Sri Khalil itu telah dihantar dengan tangan oleh Setiausaha Kerja PAS, Abdul Rahim Saidin sendiri ke pejabat Umno dan diterima oleh seorang pegawai pejabat Tan Sri Khalil bernama Suzi kerana Khalil pada ketika itu sedang bermesyuarat.
"PAS menyimpan pendua surat itu yang juga ditandatangani oleh Suzi beserta dengan cop Umno dengan tarikhnya sekali.
"Persoalan kalau ada orang di pejabat Umno yang meletakkan surat itu di bawah pintu biliknya, itu bukan lagi tanggungjawab PAS," kata Nasharudin kepada Harakah.
Sementara itu, Setiausaha Kerja PAS, Abdul Rahim Saidin mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Nasharudin itu dan menunjukkan juga pendua surat yang bercop Umno serta ditandangani oleh orang bernama Suzi di hadapannya dan dituliskan tarikh penerimaan surat itu pada 15 Februari 2001.