KOTA BHARU, 21 (Feb) - Pejabat Exco kerajaan Kelantan, Takiyuddin Hassan disyaki diceroboh masuk orang yang tidak dikenali malam tadi, apabila dokumen penting kerajaan didapati berselerek di atas lantai.
Perkara itu disedari oleh pembantu Takiyuddin pagi tadi, ketika mula masuk bertugas kira-kira jam 7.55 pagi. Ketika memasuki pejabat di Kota Darulnaim, Nik Norma Nik Daud melihat pintu bilik Takiyuddin terbuka.
Ekoran itu, Takiyuddin membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Menurutnya, ketika memasuki pejabat jam 8.15 pagi, beliau mendapati keadaan biliknya berselerak terutamanya di hadapan bilik air.
"Di antara barangan yang berselerak termasuk beg-beg yang mengandungi dokumen kerja dan surat-surat rasmi kerajaan," katanya. Kata Takiyuddin, antara barangan yang hilang ialah surat-surat rasmi kerajaan serta dokumen-dokumen berkaitan mesyuarat kerajaan negeri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, DSP Zulhasnan Baharudin berkata, pihaknya sedangkan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
"Kami akan mengambil masa secukupnya untuk menyiasat kes ini, kerana ia adalah kes pertama membabitkan pejabat Exco diceroboh," katanya.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat ketika ditemui melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku kerana ia pertama kali dalam tempoh 10 tahun PAS mentadbir kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mahu pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Darulnaim diperketatkan kawalan keselamatan supaya tidak berulang kejadian seumpama itu lagi.
Katanya, pencerobohan itu berlaku ketika saat-saat kerajaan negeri akan melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar juga menaruh keyakinan penuh kepada pihak polis bagi menyiasat perkara tersebut dan berharap penceroboh dihukum nanti.
Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan dijangka dilakukan sebelum 30 April ini pada sidang Dewan Undangan Negeri khas yang akan diadakan.
Pindaan tersebut membabitkan Perkara 15 dan 39 (3) yang diselaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Pusat.