Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pindaan: Pemuda, MSK serah memorandum

Oleh : Wan Abdul Aziz

KOTA BHARU, 20 Feb (Hrkh) - Ketua-Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan seluruh Kelantan menyerah memorandum bagi memberi sokongan penuh hasrat kerajaan negeri membuat penyelarasan perlembagaan di antara negeri dan persekutuan.

Memorandum tersebut ditandatangani semua Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan dan diserah oleh wakilnya, Abdul Hamid Aziz yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Pasir Mas kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabat beliau, kelmarin.

Menurut Abdul Hamid, Dewan Pemuda PAS seluruh kawasan mendesak kerajaan negeri mempercepatkan proses penyelarasan perlembagaan yang diguna pakai di peringkat persekutuan berhubung fungsi raja.

Katanya, penyerahan memorandum itu juga sebagai tanda sokongan penuh Dewan Pemuda untuk berdiri teguh di belakang Tuan Guru Menteri Besar dalam isu pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.

"Kami sebagai mewakili Dewan Pemuda PAS seluruh kawasan menyatakan sokongan padu kepada hasrat kerajaan negeri berhubung cadangan untuk meminda perlembagaan negeri.

"Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS seluruh kawasan di negeri ini meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses pindaan itu bagi melicinkan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri akibat campurtangan berlebihan pihak istana.

"Kami merasakan masanya sudah tiba, sebagaimana disebut Tuan Guru Menteri Besar sendiri sebagai buah yang telah mekar dan masak ranum, kerana kalau terlalu lama buah itu akan menjadi buruk," katanya di majlis ringkas penyerahan memorandum di pejabat Menteri Besar.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Zulkifli Yaakob dan Setiausahanya, Zaki Ibrahim hadir sama.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Markaz Siswazah Kelantan (MSK) turut menyerah memorandum sebagai menyokong usaha penyelarasan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Memorandum setebal enam halaman itu diserah oleh Presidennya, Mohd Adilan Mat Jusoh dengan diiringi 14 anggota exco markaz itu.

Menurut Adilan, memorandum itu diserah sebagai mewakili siswazah dan mahasiswa seluruh negeri ini, untuk mendesak kerajaan negeri menyegerakan usaha penyelarasan pindaan undang-undang tubuh.

Ia juga katanya, ekoran masalah campurtangan pihak istana dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri masih tidak dapat diselesaikan walaupun usia kerajaan negeri pimpinan PAS telah memasuki penggal ketiga.

"Mengikut undang-undang tubuh yang sedia ada, kuasa raja mengatasi kuasa dan peranan Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan negeri, yang menyebabkan gangguan dalam pentadbiran kerajaan.

"Oleh yang demikian, kami dari MSK merasakan sudah tiba masanya satu penyelarasan pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri dibuat dan ditangani secara serius dan bijaksana.

"Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, kami bimbang ia akan menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 21 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com