Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Petani Kedah rugi RM800,000

Oleh Helmi Khalid

KUALA KEDAH, 20 Feb (Hrkh) - PAS Kawasan Kuala Kedah kesal di atas sikap dingin Kerajaan Negeri Kedah untuk membela nasib lebih 100 pesawah yang mengalami kerugian hampir RM800,000.

Padi milik mereka seluas 840 relong sehingga sekarang tidak dapat dituai dengan jentera penuai akibat tanah sawah yang lembut.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Alor Ibus, Batu 6 Kuala Kedah, Telok Kechai, Kuala Kedah dan Taman Bersatu.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu, Adun Pengkalan Kundor, Ir. Haji Phahrolrazi Mohd. Zawawi, Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang dan bekas Jurutera MADA, Ir. Haji Amiruddin Hamzah turun ke sawah menuai dan membanting padi bersama pesawah.

Turut sama bergotong-royong adalah Setiausaha PAS Kawasan, Ustaz Kassim Mat Isa, Setiausaha Pemuda Kawasan, Mohd. Nasir Mustafa dan lebih 200 penduduk tempatan.

Menurut Haji Mohamad Sabu, tindakan ini antara lainnya adalah tanda simpati pihaknya kepada para pesawah yang terpaksa berputih mata melihat padi yang sudah masak tapi gagal dituai dengan jentuai.

"Bukan pesawah tidak mahu mengambil sebarang langkah, tetapi kita ingin menyoal kenapa kerajaan 'malu' untuk membantu golongan petani ketika golongan ini ditimpa musibah, tetapi di masa yang sama kerajaan 'tidak malu' menubuhkan dana-dana yang membazir demi menyelamatkan kroni," tegasnya.

Sementara itu kenyataan MB Kedah, Syed Razak Syed Zain berhubung masalah ini dikecam Haji Phahrolrazi yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah yang baru.

Dalam satu kenyataan, Syed Razak mengulas Kerajaan Kedah masih menunggu peruntukan RM1 juta untuk menaiktarafkan sistem pengairan di kawasan ini dan di negeri Kedah khususnya.

Bagi Haji Phahrol yang juga NYDP Kawasan Kuala Kedah, kenyataan itu cukup mengguris hati petani kerana kerajaan tidak mengambil sebarang tanggungjawab untuk membela nasib mereka yang semakin meruncing.

"Padi yang cukup masak ini tidak boleh bertahan lama, jika terus dibiarkan tanpa sebarang usaha ia akan rosak begitu sahaja, kebanyakan mereka mengerjakan sawah dengan keluasan yang kecil, kos sara hidup kini cukup tinggi, ini yang perlu kita fikirkan bersama," sambung beliau.

Sebelum ini lebih hampir 100 orang petani bersamaa badan NGO antaraanya Abim, Jim, Teras dan pengerusi-pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah menubuhkan Badan Bertindak Petani (BBP) bagi menyuarakan hak petani yang didakwa ditindas oleh kerajaan.

Dalam satu sidang akhbar, Pengerusi BBP, AhSin Salleh kenaikkan kadar potongan padi wap basah yang tinggi, harga padi rendah, kemasukan beras import yang tidak terkawal dan harga beras yang melambung menyebabkan ada di kalangan petani yang berpendapatan purata RM250 sahaja sebulan.

Beberapa petani yang ditemui pula menyuarakan rasa kesal mereka terhadap laporan TV kerajaan dan swasta mengenai dua masalah ini.

Haji Abdul Majid Hussain berkata sepatutnya TV memberi laporan yang tepat mengenai masalah ini bukannya menyalahkan pihak petani.

Katanya, TV swasta membuat ulasan bahawa petani perlu meningkatkan mutu hasil dan berubah dari cara tradisional kepada moden sebelum membuat sebarang tuntutan dari kerajaan.

"Sebenarnya laporan itu langsung tidak tepat dan pelapor berita itu langsung tidak memahami tentang apa yang didengar dalam sidang akhbar itu," jelasnya.

Petani juga kesal dengan laporan TV kerajaan yang menuduh petani yang tidak menghubungi pemilik jentuai kerana pihak ini dikatakan bersedia pada bila-bila masa untuk turun ke mana-mana sawah jika dipanggil.

Seorang pemilik jentuai ketika dihubungi menceritakan bagaimana mesinnya hampir tenggelam seluruhnya ketika cuba menuai padi di sebuah kampung berhampiran.

"Kami simpati apa yang pesawah alami, tetapi kami tidak berani menanggung risiko mesin tenggelam kerana ia akan membabitkan kos yang tinggi untuk menaikkan semula ia ke darat," sambung beliau.

Seorang Peengerusi PPK juga memberitahu sebuah mesin telah tenggelam hampir 10 kaki di sawah dalam Parlimen Jerlun kerana mengalami masalah tanah lembut.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 21 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com