Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Muzakarah: PAS sedia batal pertemuan

Oleh Mazita Mamat

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - PAS tidak akan teragak-agak membatalkan rundingan perpaduan 19 Februari ini jika Umno berterusan mempersoalkan syarat yang ditetapkan dalam pertemuan jawatankuasa teknikal kedua-dua pihak pada 8 Februari lalu.

Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, yang mengetuai jawatankuasa teknikal PAS ke mesyuarat itu, memberi amaran, delegasi PAS akan meninggalkan mesyuarat teknikal esok jika Umno masih berkeras menggunakan isu perpaduan Melayu.

Beliau menegaskan PAS dijemput oleh Umno dan kemudian memenuhi undangan tersebut yang boleh diumpamakan seperti dipinang. "Jadi adat orang yang dipinang boleh meletakkan syarat. Oleh itu tidak perlulah dipersoalkan kenapa PAS meletakkan beberapa syarat sebelum perbincangan," katanya.

Beliau menegaskan empat syarat yang ditetapkan iaitu yang berkaitan sistem demokrasi, pemulihan ekonomi, sistem kehakiman dan Islam adalah isu nasional yang perlu menjadi keutamaan.

"Kalau Umno terus menerus mendesak agar perbincangan perpaduan Melayu diteruskan, PAS tidak akan teragak-agak untuk membatalkan perbincangan tersebut," tegasnya.

Beliau juga berharap semasa perbincangan nanti, ahli Umno menunjukkan kematangan.

Ustaz Nasharuddin juga meminta pihak media supaya membuat laporan seimbang.

Sehubungan dengan itu beliau meminta penjelasan Setiausaha Agung Umno yang juga Menteri Penerangan, Khalil Yaakub, yang seolah-olah membiarkan isu perpaduan Melayu diperbesarkan oleh media sedangkan ia tidak berbangkit sama sekali dalam mesyuarat teknikal.

Ustaz Nasharuddin juga meminta ahli PAS supaya memberi keyakinan kepada pucuk kepemimpinan dan berdoa agar pertemuan itu akan membuahkan hasil memuaskan.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com