Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pertemuan PAS-Umno: PAS kesali sikap Dr Mahathir

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Ketua Jawatankuasa Teknikal PAS dalam perbincangan perpaduan nasional, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, kesal dengan tindakan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad yang terlebih dahulu mengumumkan tarikh perbincangan yang ditetapkan pada 19 Februari ini.

Ustaz Nasharuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, berkata pengumuman yang dibuat oleh Dr Mahathir baru-baru ini menggambarkan ketidakjujuran dan keikhlasan beliau dan juga pemimpin Umno yang lain.

Menurut beliau, sebarang keputusan yang dipesetujui dalam pertemuan bersama peringkat Jawatankuasa Teknikal pada 8 Februari lalu perlu dibincangkan kepada parti masing-masing.

Kemudian, katanya, barulah keputusan itu dibincangkan semula oleh Jawatankuasa Teknikal peringkat kedua yang dijangka berlangsung esok.

Bagaimanapun, katanya, seperti mana yang diketahui, Perdana Menteri telah mengumumkan tarikh pertemuan di peringkat Presiden pada 19 Februari ini.

Tegasnya, walaupun tarikh itu dipersetujui tetapi ia perlu dipersetujui oleh parti masing-masing.

"PM sudah umumkan, di sinilah kita pertikaikan keihklasannya, yang kedua jumlah ahli rombongan, kita ada sebut jumlah ahlinya tapi kita akan bincangkan dengan parti dahulu kerana peranan jawatankuasa sepatutnya mendengar kemudian dibawa balik kepada parti. Bukannya terus buat keputusan," tegasnya sewaktu mengadakan wawancara bersama Harakah, di pejabatnya pagi tadi.

Perkara-perkara inilah, katanya, akan dibawa dalam perbincangan Jawatankuasa Teknikal kali kedua ini di samping menegas bahawa setiap perkembangan perbincangan akan dilaporkan kepada PAS Pusat.

"Jawatankuasa Teknikal bukan diberi mandat penuh. Ia hanya membawa mandat sebagai jawatankuasa teknikal. Apa-apa perkembangan dilaporkan kepada PAS Pusat," jelasnya.

Di samping itu, beliau juga berkata bahawa PAS akan menambah dua wakil lagi untuk pertemuan Jawatankuasa Teknikal kali kedua.

Mereka adalah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Ahli Parlimen PAS-Kuala Terengganu) dan Dr Zulkifli Ahmad. Tambahnya, sekiranya pertemuan antara presiden diadakan, wakil dari PAS, katanya, telah diputuskan seramai 10 + satu (Ustaz Nasharuddin sendiri sebagai Setiausaha Agung PAS.

Keputusan ini, katanya, telah diputuskan semasa mesyuarat biro politik dan organisasi PAS pusat di Markas Taman Melewar malam semalam.

Mesyuarat tersebut dianggotai beberapa pimpinan tertinggi PAS, antaranya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dato' Fadzil Mohd Noor, Dato' Hishamudin Yahya, Ustaz Nasharuddin, Mahfuz Omar dan Dr Hatta Ramli.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com