KOTA BHARU, 8 Feb (Hrkh) - Rakyat dari berbagai lapisan di negeri ini menyokong penuh cadangan supaya pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan dibuat selaras dengan Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berpendapat penyelarasan itu penting bagi mengelakkan masalah timbul dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri, sehingga membantut program untuk faedah rakyat.
Jadual 8, Perlembagaan Malaysia menyebut, jika raja dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau atas nasihat, maka raja hendaklah menerima atau memakai nasihat itu.
Seorang guru, Muhamad Daud Sulaiman, 45 berkata, amat wajar sekali keseragaman undang-undang dibuat di antara negeri dan Pusat.
Katanya, ia perlu dilakukan bertujuan untuk melincinkan jentera pentadbiran kerajaan negeri.
"Sepatutnya kerajaan Kelantan membuat pindaan tersebut pada 1983 lagi, dan bukannya sekarang sehingga wujud hubungan tidak mesra di antara kedua pihak," katanya.
Menurutnya, masalah yang berlaku sekarang pernah menimpa Umno dan keadaan lebih parah lagi apabila berlaku krisis perlembagaan di antara kerajaan negeri dan pihak tertentu.
Seorang pemimpin masyarakat Cina di sini, Lee Siang Gaik turut melahirkan persetujuan sekiranya penyelarasan di antara Undang-Undang Tubuh Negeri dan perlembagaan Persekutuan.
Katanya, masalah dalaman membabitkan pentadbiran Kelantan akan berterusan, selagi pindaan tidak dilakukan segera.
Sebahagian besar orang ramai yang ditemui turut menyokong cadangan meminda perlembagaan Kelantan supaya diselaras dengan keputusan dibuat di peringkat Pusat.
Semalam, bekas Penasihat Undang-Undang PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, penyelarasan di antara Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan segera.
Katanya, pindaan yang perlu dilakukan membabitkan Artikel 39 (fasal 3) yang menjelaskan rang undang-undang akan menjadi undang-undang selepas diperkenankan Sultan.
Bagaimanapun Jadual 8, Perlembagaan Malaysia berbunyi raja hendaklah memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan di peringkat parlimen dalam tempoh 30 hari, dan selepas tempoh tersebut, ia tetap menjadi undang-undang biarpun tidak diperkenankan.
Satu peruntukan yang perlu dipinda iaitu Artikel 15 (1), Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan dalam menjalankan tugas sultan bertindak selaras dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
Pindaan perlembagaan di peringkat persekutuan dilakukan pada 1983 yang sudah diterima pakai semua negeri kecuali Kelantan.