Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PAS tidak akan sertai BN

Oleh Nur Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa sekali lagi menegaskan, PAS tidak akan sekali-kali menimbangkan untuk menyertai semula BN walaupun cuba dibangkitkan oleh Umno mengenainya.

Beliau menjelaskan, tidak timbul sama sekali persoalan PAS sertai BN walaupun PAS bersedia untuk bermuzakarah dengan BN.

PAS lebih rela menunggu untuk membentuk kerajaan sendiri bersama rakan-rakan Barisan Alternatif (BA) selepas pilihan raya umum 2004 akan datang.

"PAS akan tetap kekal sebagai pembangkang, paling tidak sehingga 2004 dan jika mereka pelawa kita, kami diperingkat jawatankuasa teknikal pun akan meninggalkan mesyuarat itu nanti," katanya ketika ditemui di pejabat di Jalan Pahang Barat Isnin lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pertemuan pertama jawatankuasa teknikal PAS dan Umno bagi membincangkan persiapan pertemuan antara kedua-dua parti.

Dalam perkembangan terkini, pertemuan diperingkat jawatankuasa teknikal Umno-PAS dijangka akan berlangsung pada minggu ini sementara tarikh, masa dan tempat akan diumumkan kemudian.

Katanya, pertemuan antara pemimpin PAS dan Umno hanya akan berlangsung sekiranya semua syarat yang ditetapkan oleh PAS dipersetujui oleh Umno antaranya menjadi perpaduan nasional sebagai topik perbincangan dan bukannya perpaduan Melayu sahaja.

Beliau menegaskan, pertemuan ini hanya membincangkan mengenai teknikal iaitu mengenai agenda khususnya yang membabitkan kepentingan rakyat.

"Kita telah setuju pertemuan ini akan membincangkan perkara-perkara teknikal dan bukan bersifat dasar," ujar beliau.

Dalam Jawatankuasa Teknikal ini, PAS, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Yan, Kedah, akan diwakili oleh empat orang yang terdiri daripada beliau sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan tiga orang ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Dato' Hishamuddin Yahya dan Dr Abdul Wahab Ismail.

Manakala Umno dijadualkan akan diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Tan Sri Khalil Yaakob.

"Jawatankuasa Teknikal akan merangka beberapa terma-terma yang akan dibawa di peringkat itu nanti, tetapi yang paling utama adalah agenda.

"Agenda akan diperluaskan manakala perpaduan Melayu hanya sebagai sebahagian skop perbincangan itu nanti," katanya.

Katanya, PAS berbeza dengan mana-mana parti politik lain kerana PAS sebuah gerakan Islam dan pertemuan ini mestilah dianggap sebagai salah satu medan dakwah PAS dan sentiasa terbuka dengan mana-mana pihak untuk berbincang.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 6 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com