Oleh Kamarudin Mat Akib
KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Hrkh)-Kedudukan Umno Terengganu kini dikatakan makin gawat berikutan perebutan sengit di kalangan pemimpinnya bagi merebut jawatan ketua bahagian yang dijadualkan diadakan pada April depan.
Harakah difahamkan acara lobi melobi dan saingan tidak sihat yang sedang giat dilakukan oleh pemimpin parti itu yang berminat menjawat pelbagai jawatan di peringkat bahagian, makin melemahkan parti tersebut.
Sebahagian besar pemimpinnya dikatakan tidak begitu berminat untuk membantu pucuk pimpinan parti itu bagi mengembalikan maruah Umno Terengganu yang tercalar dalam pilihan raya umum lalu, tetapi mereka lebih berminat merebut jawatan dalam parti kerana kepentingan tertentu.
Keghairahan pemimpin pelapis untuk merebut jawatan tertentu semakin terserlah apabila beberapa pemimpin veteran seperti bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad dan bekas Ahli Exco, Dato' Abu Bakar Daud, "dipaksa" berundur dari arena politik.
Kedua-dua pemimpin yang paling lama bergiat dalam arena politik di negeri ini, kini berada di luar negara setelah dilantik sebagai duta Arab Saudi dan Mesir.
Antara bahagian yang dijangka menyaksikan saingan sengit bagi merebut jawatan ketua dan beberapa jawatan penting lain ialah Setiu, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang.
Difahamkan hanya Ketua Umno Bahagian Besut, Dato' Dr Yusof Nor dan Ketua Bahagian Hulu Nerus, Dato' Abdul Rashid Ngah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Terengganu, tidak akan ditentang pemimpin bahagian lain.
Manakala enam bahagian lain lagi bakal menyaksikan ketua yang sedia ada akan ditentang oleh pemimpin pelapis yang berpendapat mereka lebih layak menerajui bahagian masing-masing berbanding ketua yang sedia ada.
Pertandingan sengit dalam pemilihan pucuk pimpinan peringkat bahagian bukan saja berlaku di peringkat bahagian, tetapi juga dikatakan terjadi dalam Pemuda bahagian.
Pemerhati politik berpendapat keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pemimpin pelapis berpendapat mereka perlu merebut peluang kekalahan Umno Terengganu dalam pilihan raya lepas adalah peluang terbaik kepada mereka untuk menjatuhkan pemimpin lama.
Jika mereka tidak menjatuhkan pemimpin sedia ada, mungkin peluang mereka untuk menonjolkan diri sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang, akan terjejas.
Oleh itu, mahu tidak mahu mereka terpaksa mencabar pemimpin veteran, walaupun ada antara mereka yang menjadi "guru" kepada golongan pelapis ini dalam mengenali sepak terajang politik.