Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Beberapa orang pemimpin Pemuda Pas bersedia menyerahkan pingat masing-masing

KOTA BHARU, 31 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kelantan menjelaskan pihaknya tidak pernah menderhaka kepada sultan, malah mempertahankan bermati-matian institusi tersebut, ketika Umno mahu menabal sultan lain.

Naib Ketuanya, Ustaz Zulkefli Yaakob berkata, sebenarnya Umno lupa sejarah yang pernah berlaku dahulu, di mana mereka telah menelanjangkan raja Kelantan dengan menabalkan Tengku Ibrahim.

"Ketika itu kamilah sebagai perisai mempertahankan tuanku. "Oleh itu, tidak timbul kami menderhaka kepada raja, cuma kami ingin tahu sebab penarikan balik pingat yang dibuat terhadap dua anggota Exco, ..tak kan ingin tanya sebab dikatakan pula sebagai menderhaka," katanya pada persidangan media di sini, semalam.

Semalam, Pengerusi Tugas-Tugas Khas Pergerakan Pemuda Umno, Ezanee Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Zahari Kechik dilaporkan berkata, perbuatan Dewan Pemuda PAS Kelantan ingin mendapat penjelasan mengenai penarikan darjah kebesaran dari sultan, sebagai perbuatan tidak beradab.

Zahari pula membidaskan tindakan Dewan Pemuda PAS Kelantan yang meminta penjelasan istana dalam tempoh tertentu, dan dianggapnya sebagai ugutan.

Umno pernah menabalkan Tengku Ibrahim sebagai raja baru pada suatu majlis yang diadakan di Ketereh.

Majlis penabalan itu dilengkapkan dengan persembahan adat istiadat kebesaran dan paluan nobat. Perkataan daulat tuanku juga dilaungkan, majlis itu dihadiri bekas menteri, Dato' Annuar Musa.

Kemuncak kepada tindakan bermusuh yang keterlaluan Umno dengan istana, di mana mereka pernah menyerahkan memorandum kepada sultan Kelantan yang diletak di pintu Balai Besar dekat sini.

Pada ketika itu, suasana di sekitar Kota Bharu agak tegang, di mana pasukan polis terpaksa mengawal di semua penjuru termasuk menggunakan khidmat helikopter.

Ustaz Zulkefli berkata, apa yang dilakukan Dewan Pemuda PAS sekarang sekadar untuk mengetahui sebab-sebab penarikan balik darjah kebesaran dan sesuatu perkara yang berlaku tidak lojik tanpa ada alasannya.

Baru-baru ini, pihak istana menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada dua anggota Exco, iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan.

Pada sidang media yang sama Ustaz Zulkefli juga menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Takiyuddin mengenai prosedur yang perlu dipatuhi pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dengan kerajaan negeri.

"Kami menyokong penuh peringatan kembali kepada badan-badan berkanun milik kerajaan supaya tidak mengingkari Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8, 1995 iaitu berkaitan dengan cuti hari Sabtu yang masih lagi tidak dipatuhi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS keseluruhannya mendesak kerajaan supaya mengambil sikap yang tegas kepada Maik supaya dapat mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan kerajaan negeri," katanya.

Maik sehingga kini gagal mematuhi peraturan tersebut mengenai hari bekerja iaitu cuti dua hari seminggu pada Jumaat dan Sabtu.

Maik hanya mengikut arahan pekeliling berkenaan seketika sahaja dan mengarahkan kakitangannya bekerja seperti kerajaan Pusat.

Arahan secara tiba-tiba itu dibuat oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan tidak puas hati kakitangan di Maik.

Bagaimanapun kakitangan Maik terpaksa menyembunyikan bantahan mereka kerana khuatir tindakan dari pihak atasan.

Malah, difahamkan persatuan kakitangan di Maik pernah bercadang untuk membawa kes tersebut ke mahkamah memandangkan pihak atasan melanggar pekeliling ditetapkan kerajaan negeri secara terbuka.

Maik ditubuh di bawah enakmen kerajaan negeri sebagai sebuah badan berkanun yang mendapat bantuan tahunan kerajaan.

Sementara itu, beberapa pemimpin PAS bercadang hendak memulangkan semula darjah kebesaran dan pingat yang diterima mereka sebelum ini, kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan istana menarik balik pingat dua Exco tanpa sebarang sebab.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, Hamid Abdul Aziz berkata, beliau bersedia untuk memulangkan semula pingat kebesaran yang diterima dari sultan pada 1993 dan 1995.

Pingat tersebut iaitu pingat Taat dan Bakti. "Hari ini saya bersedia untuk menghantar balik pingat kebesaran yang saya terima dari sultan Kelantan sebagai tanda sokongan terhadap Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan," katanya.

Harakahdaily.com difahamkan ada beberapa lagi penerima pingat dan darjah kebesaran akan mengikut jejak langkah dibuat Hamid, selepas ini.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com