Oleh : Fathi Aris Omar
Seminggu dua kebelakangan, telefon pejabat ini sering berdering: Ada yang ingin bertanya khabar, meminta penjelasan dan menyatakan sokongan.
Pembaca malaysiakini dari Sabah, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang - sekadar beberapa tempat - melaporkan akhbar web ini mendapat liputan dalam beberapa program televisyen dan radio.
“Fikir positif,” kata seorang pembaca, mengulas laporan agresif media arus perdana terhadap malaysiakini. “Boleh jadi ia (laporan itu) sebagai blessing in disguise.”
Boleh jadi? Ya, ia memang ‘promosi percuma’ untuk sebuah laman web yang baru dan tersorok di alam siber - satu lagi paradoks teknologi baru. Anda boleh mencapai sesuatu tapak dari tempat yang paling jauh dan terpencil tetapi jika URL (alamat) laman web itu tidak diketahui, anda tidak boleh berbuat apa-apa.
Pada mulanya, awal tahun lalu, inilah kebimbangan kami - bagaimana usaha yang termurah tetapi berkesan untuk memberitahu orang ramai di negara ini bahawa wujud laman web berita harian yang bernama Malaysiakini.com.
Bagaimanapun, isu promosi itu telah mula selesai. Malah, laporan agresif RTM, TV3 dan akhbar harian berjaya melimpahkan maklumat tentang Malaysiakini.com ke kedai-kedau kopi, surau dan sembang harian - ke peringkat keanggotaan masyarakat yang paling rendah.
Serangan media tidak semua akan membawa kesan sebagaimana yang diharapkan oleh penyerang. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, serangan media boleh bertukar menjadi pengumuman tentang sesuatu isu atau perkara.
Misalnya, serangan media berlebihan (overkill) terhadap bekas pemimpin nombor dua Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya meraih simpati yang besar dan malah menggalakkan tindakan balas (retaliation) orang Melayu.
Isu Anwar dipencilkan
Di ibukota, tindakan balas ini bertukar siri-siri bantahan terbuka yang konsisten selama beberapa bulan sejak Anwar dipecat pada September 1998.
Amaran demi amaran daripada polis dan pemimpin kerajaan bertukar menjadi ‘cabaran’ dan pengumuman agar orang ramai menyertai siri bantahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Baru, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Istana Negara.
Taktik itu telah mula disedari oleh polis, pengamal media arus perdana dan pemimpin Umno dalam kerajaan. Oleh itu, isu Anwar kini dipencilkan, dan ada waktu-waktunya ditenggelamkan begitu sahaja. Begitu juga cara pihak berkuasa menangani demonstrasi.
Memberikan amaran, mengulang-ulangkannya di kaca TV atau di halaman depan akhbar, akan mengingatkan orang ramai tentang demonstrasi, reformasi, Anwar, kezaliman kerajaan (juga disebut Dr Mahathir Mohamad) dan pembangkang.
Misalnya, amaran Dr Mahathir hujung minggu sebelum sambutan ulang tahun ‘Black 14' tahun lalu merangsang orang ramai, khususnya penyokong reformasi, hadir di tengah kota Kuala Lumpur walau dikawal ketat oleh polis.
Menurut penganjur, mereka sendiri ‘bimbang’ jika tidak terdapat sebarang berita atau kenyataan tentang rancangan untuk mengadakan siri bantahan di tengah ibukota. Bagaimanapun, Dr Mahathir menjadi ‘penyelamat’ program itu yang diadakan sempena “mengingatkan sesuatu” (kata Perdana Menteri waktu itu).
Kini malaysiakini pula menjadi sasaran serangan media. Tidak cukup laporan awal New Straits Times pada 3 Februari lalu dan beberapa laporan susulan, seminggu selepas itu dalam rancangan MHI (Malaysia Hari Ini) pada Ahad lalu, seseorang telah membangkitkan isu ini.
Kredibiliti atau availability?
Beliau seolah-olahnya memulakan acara ‘melepaskan belon dan burung merpati’ sebagai promosi besar-besaran untuk mengingatkan masyarakat Malaysia bahawa wujud laman web berita yang mengkritik kerajaan, selain laman-laman proreformasi yang sedia tidak disenangi oleh kerajaan.
Panggilan telefon dari pelbagai penjuru itu mendedahkan bahawa orang ramai kini ingin mengetahui lebih lanjut tentang malaysiakini. Mereka telah mula membicarakannya - setuju, keliru atau marah. Promosi hebat ini tidak akan mampu dibuat kecuali membeli ruang iklan di TV, radio dan akhbar harian yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.
Bagaimanapun, menyedari krisis kredibiliti yang dialami oleh media arus perdana dan usaha menegakkan benang basah kerajaan, implikasi buruk daripada serangan terhadap malaysiakini seminggu dua ini masih boleh diperdebatkan.
Jika laporan itu sebagai usaha discredit akhbar web ini, mereka haruslah berhenti sahaja ‘demonising’ Malaysiakini.com. (Demonising Malaysiakini, 16 Feb)
Satu soalan untuk mereka: Apakah kredibiliti media yang menjadi isunya atau soal availability suara kedua, suara pengkritik, bersuara bebas berdikari, suara pembangkang dan suara yang ingin memecahkan monopoli maklumat sehala atas ke bawah daripada kerajaan?
Jika kredibiliti menjadi isunya, sudah lama laman-laman web proreformasi ‘bungkus’! Tetapi nampaknya RTM yang membuat laporan agresif itu tidak berfikir daripada sudut ini.
Dinding tebal monopoli maklumat, brainwashing atau indoktrinasi kini mulai retak dan bocor. Ia akan rebah jua - jika tidak hari ini, esok.
Inilah kebimbangan yang merasuk 'boss' pengamal media perdana hari ini.
--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini