Fathi Aris Omar
Selasa lalu, terdapat sebuah tulisan di laman rasmi Umno memuji langkah Menteri Dalam Negeri yang tidak menghalang wartawan malaysiakini daripada membuat liputan satu acara yang dirasmikan pemimpin negara itu.
Umno-online bagaimanapun ‘menghilangkan’ tulisan tersebut semalam apabila malaysiakini melaporkannya sehari sebelum itu. Dalam istilah persuratkhabaran, menarik semula berita atau tulisan disebut ‘dibunuh’ (killed).
Kehilangan tulisan itu - bertajuk ‘Tindakan Pak Lah benar malaysiakini buat liputan dipuji’ - sungguh misteri dalam usaha Umno memulihkan imejnya sebagai parti yang demokratik dan cuba memikat generasi muda Melayu
Isu itu berbangkit selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung mengumumkan pada hujung minggu itu larangan terhadap wartawan malaysiakini daripada menghadiri majlis rasmi.
Katanya, banyak jabatan kerajaan tidak mengetahui hal ini dan membenarkan liputan malaysiakini.
Bagaimanapun, Umno-online mengkritik langkah Chor itu. “Sebenarnya (langkah itu) tidak akan membantu masalah,” kata laman rasmi parti itu, walau tidak menyebut nama penulisnya. “Sebaliknya, (ia) hanya menjauhkan lagi pandangan kerajaan daripada pelayar laman web (malaysiakini) itu.”
“Malaysiakini wajar diberi hak dan peluang sejajar dengan kebebasan kewartawanan selagi tidak mengancam keselamatan negara. Kritikan terhadap sebarang tindakan kerajaan harus dijawab bukannya dihalang,” tulis laman Umno-online lagi.
“Sama ada Malaysiakini dibiayai oleh (George) Soros atau Barat bukanlah alasan untuk menghalang mereka. Kalau ada sebarang pelanggaran undang-undang, maka tindakan perundangan yang perlu diambil. Kalau ada kesilapan melapor, pembetulan harus dilakukan.”
Sebaik sahaja membaca idea yang bernas itu, saya pun menulis mesej kepada laman itu dan satu salinannya dikirim kepada seorang kakitangan ibu pejabat Umno di bangunan PWTC. Antaranya, saya menyebut: “Pandangan ini sangat ‘progresif dan reformis’, berbanding imej dan sikap umum Umno, Barisan Nasional dan kerajaan yang telah menutup akhbar mingguan Eksklusif, majalah-majalah Detik dan Al-Wasilah.”
“Alangkah baik jika YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghidupkan semula tiga permit yang dinafikan itu,” tambah saya, memperkenalkan diri sebagai seorang anggota Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), yang dipimpin oleh seorang penulis politik terkenal Ahmad Lutfi Othman.
Nasib BBM pun sama
Keesokannya, malaysiakini melaporkan tulisan di laman rasmi Umno itu. (Pak Lah gets thumbs up for right attitude towards reporters, Feb 7).
Bagaimanapun, sejak semalam tulisan itu telah hilang tanpa sebarang penjelasan. Tulisan-tulisan lain yang disiarkan pada hari itu masih wujud. Usaha untuk mengesan tulisan itu beberapa kali dalam arkib Umno-online hingga ke hari ini gagal, walau tajuk-tajuk lain yang menghentam malaysiakini dikekalkan dan dapat dikesan kembali.
Apa erti semua ini?
Sebuah lagi laman web yang mendakwa ingin “menggerakkan reformasi dari dalam Umno tanpa meninggalkan parti itu” turut membantah langkah Chor itu.
Dengan tulisan bertajuk ‘Tindakan banned ke atas media malaysiakini adalah suatu tindakan yang kurang bijak,’ penulisnya berkata, “saya terkejut apabila mengetahui bahawa malaysiakini telah diharamkan daripada membuat sebarang liputan khususnya yang melibatkan program-program kerajaan.”
Laman web Umno-reform.com yang beriya-iya mempertahankan kemungkinan menjalankan reformasi dari dalam parti kerajaan itu tentu kecewa dengan nasib penulis di laman rasmi Umno itu. Ia membuktikan bahawa Umno tidak memberikan sebarang ruang - walau tulisan sehelai muka surat sahaja - untuk berkembang dalam Umno.
Inilah puncanya surat layang lebih mudah diperolehi dalam parti itu daripada hujah rasional, matang dan bijaksana.
Maka munasabah pula apabila Barisan Bertindak Melayu (BBM) dikritik hebat sejak Selasa lalu dalam media arus perdana di bawah kawalan Umno. Tetapi hairan sekali, tidak wujud pula liputan yang adil dalam akhbar perdana tentang program BBM pada Ahad lalu.
Tiba-tiba sahaja kritikan, kecaman dan kutukan melayang dari segenap penjuru sehari selepas itu.
Kemudian, sebuah akhbar harian berbahasa Melayu dalam lidah pengarang dan tulisan kolumnisnya cuba pula berhujah kononnya malaysiakini "tidak akan bebas" jika menerima pelaburan dari negara luar.
Maka kini terbukti lagi, tiada ruang reformasi dalam Umno dan media-media yang dikuasainya, seperti Umno-online, apatah lagi akhbar harian atau stesen televisyen. Semuanya dikuasai kepimpinan arus perdana dalam parti itu.
Janganlah bersandiwara jika tidak mampu menunaikannya. Action speaks louder than words.
--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini