Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Telefon, internet: Senjata jatuhkan diktator

Fathi Aris Omar [Tulisan ini asalnya diterbitkan dalam akhbar "Berita Keadilan", 5 Februari, 2001]

Telefon bimbit dan internet - rupa-rupanya dua senjata yang boleh digunakan rakyat untuk menjatuhkan pemimpin rasuah. Rasuah Joseph Estrada (Filipina) tidaklah sehebat Suharto (Indonesia) sebab bekas bintang filem itu baru sahaja berkuasa. Lagipun bekas presiden negara di utara Sabah itu belum membelit rakyatnya dengan akta-akta kuku besi, tidak seperti negara ini dan Indonesia.

Mesin faksimili pula menjadi senjata pelajar China mengumpul kudrat di Medan Tiananmen pada Jun, 1989. Pergerakan rakyat-siswa itu yang bermula sejak April merebak ke bandar-bandar utama untuk menuntut reformasi dan penghapusan rasuah, bagaimanapun ditewaskan dengan lumuran darah di Beijing.

Sungguh menarik apabila mesej teks melalui telefon tangan digunakan dalam gerakan rakyat (people’s power) ketika detik-detik mendesak Estrada melepaskan jawatannya. Sama ada tekanan itu akibat politik kaum modal yang lebih kompleks di negara itu, sekurang-kurangnya ia memberikan pengajaran kepada rakyat di negara-negara jiran.

Kira-kira 70 juta mesej berteks disalurkan melalui telefon tangan, peningkatan 55 peratus berbanding minggu sebelumnya, ketika beratus-ratus ribu rakyat (400,000 hingga 700,000) keluar di Tugu Revolusi, Manila.

Di Indonesia, internet digunakan secara meluas untuk menggugat Suharto. Menurut Tedjabayu Basuki, seorang wartawan berpengalaman negara itu, laman web berjaya dimanfaatkan untuk menggalakkan debat dan mengasak idea pendemokrasian yang meluas di Indonesia.

Secara jelas, ia bermula sejak wujud senarai perutusan (mailing list) "Apakabar" pada 1990. Ia membenarkan pelbagai idea, daripada paling radikal kepada sederhana termasuk agen-agen propaganda-perisik Suharto, disampaikan di sebalik identiti yang tidak dikenali.

Akibat kawalan ketat media dan semua saluran maklumat, Apakabar menjadi medan menarik untuk menyebarkan maklumat-maklumat politik anti-Suharto. Bagaimanapun, kerajaan diktator itu sering juga mensabotaj kemudahan internet - khususnya ketika saat-saat kritikal seperti beberapa hari sebelum pelancaran demonstrasi siswa besar-besaran 1998, beberapa bulan sebelum Suharto tumbang.

Untuk mengelak dikesan, komunikasi antara aktivis anti-Suharto dirahsiakan melalui sistem kod sulit atau "encryption". Aktivis juga melancarkan serangan pencerobohan (hacking) terhadap laman-laman web dan komunikasi tentera Indonesia, selain saluran-saluran propaganda kerajaan.

Dua kemudahan teknologi ini juga sebenarnya sedang membentuk lanskap baru politik negara kita. Telefon tangan memudahkan komunikasi, berita dan keputusan, disalurkan dengan pantas. Oleh kerana aktivis politik tidur selepas tengah malam, maklumat politik aktivis reformasi-pembangkang di Malaysia umumnya bergerak antara 6 pagi hingga 4 pagi keesokannya.

Maklumat awal selepas subuh selalunya di kalangan aktivis parti Islam, sementara lewat tengah malam pula dikongsikan oleh aktivis reformasi dan BA umumnya. Gaya hidup seumpama ini (atau lebih tepat "gaya tidur") membolehkan perkembangan politik dipantau hampir 24 jam. Mereka tidak mempunyai pejabat tetap dan rasmi tetapi mujurlah ada kemudahan telefon tangan dan dibantu oleh komunikasi emel dan laman-laman web.

Bagaimanapun, teknologi sahaja tidak cukup jika aktivis reformasi-BA tidak memanfaatkannya sebaik mungkin. Satu contoh nyata ialah berita penangkapan Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian baru-baru ini (kes berkaitan pilihanraya kecil Lunas, Kedah) sudah diketahui umum apabila ia disampaikan jam 2 pagi ke bilik berita malaysiakini.com.

Tetapi berita penangkapan Ruslan Kasim, Ketua Penerangan Keadilan, lambat diketahui kerana tidak dilaporkan kepada pejabat berita malaysiakini.com walau Ruslan ditahan polis sejam atau dua selepas Tian. Oleh itu, teknologi sahaja tidak cukup tanpa tenaga manusia yang cekap.

Bahan-bahan bertulis di laman-laman web proreformasi, atau pembangkang (seperti Harakahdaily.com) atau milik bebas (seperti malaysiakini.com atau AFP) tidak dicetak dan disebarkan secara meluas ke peringkat akar umbi. Oleh itu, maklumat alternatif ini sangat terbatas - ia hanya dinikmati oleh penggemar laman-laman web alternatif sahaja. Kebebasan internet, jika kita tidak manfaatkan betul-betul, hanyalah "kebebasan maya" (virtual freedom), sedikit sekali dampaknya kepada orang ramai dan tidak akan menggugah lanskap politik negara.

Sedangkan di Indonesia, terbukti sekatan media yang direka cipta oleh Suharto boleh ditewaskan jika maklumat alternatif daripada internet dicetak dan disebarkan secara meluas. Kemuncak sebaran ini ialah senarai kekayaan Suharto, anak-anaknya dan kroni-kroninya.

Ketika berada seketika di Jakarta, selain Pak Tedjabayu yang menulis artikel "Indonesia: The Web as a Weapon," saya sempat bertemu dan berbual-bual dengan seorang wartawan radio yang pernah ditahan oleh regim Suharto-Golkar selama dua tahun kerana menyebarkan bahan-bahan bercetak daripada laman-laman web. Ertinya, wartawan ini menyebarkan bahan tersebut sebelum krisis ekonomi Asia 1997 dan Suharto belum berjaya ditumbangkan pada Mei, 1998.

Tetapi aktivis politik pembangkang dan reformis Malaysia gagal memanfaatkan pertemuan-pertemuan mereka dan pusat-pusat perhimpunan mereka dengan sebaran-sebaran semasa (kalau boleh, setiap hari) daripada laman-laman web. Malah, pusat-pusat itu kebanyakannya tidak dilengkapi kemudahan internet yang pantas, seperti keperluan telefon dan mesin faksimili.

Fenomena sebaran ini (walau terbatas) hanya bertahan beberapa ketika pada lewat 1998 hingga musim pilihan raya umum 1999 lalu. Selepas itu pembangkang sendiri tidak berminat melihat internet atau memantau pergerakan maklumat yang disalurkan sebagai alternatif kepada propaganda kerajaan, khususnya melalui televisyen, radio dan akhbar.

Pengalaman saya di malaysiakini.com selama hampir 14 bulan jelas membuktikan bahawa kuasa internet cukup ampuh untuk menyaingi semua jenis media kerajaan. Internet boleh mengatasi laporan televisyen dan radio - kecuali media konvensional ini menyiarkan maklumat secara langsung. Laman web harian ini pernah mengalahkan televisyen dan radio apabila membuat liputan terus-menerus sidang Umno pada Mei tahun lalu. Sebab itu dotcom seperti Malaysiakini atau Harakahdaily tidak akan merudum seperti kelembaban dan imej negatif yang sedang melanda semua syarikat dotcom di seluruh dunia sekarang.

Dotcom di negara-negara maju atau syarikat yang menawarkan produk di internet itu selalunya "redundant," terlalu baru atau kurang diyakini khidmatnya. Tetapi dotcom politik di negara yang tertutup saluran maklumat seperti Malaysia (dan negara-negara membangun yang sempit ruang demokrasi) merupakan satu "niche" yang pasti mencipta kekuatan keperluan, pasaran dan pulangan (jika mahu dikira aspek niaganya sahaja).

Sudah beberapa kali malaysiakini menyiarkan berita paling pantas, misalnya berita bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman Ogos tahun lalu. Kami mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menyiarkannya sehingga menjadi sumber rujukan utama dari seluruh dunia, termasuk agensi berita asing. Berita liputan langsung dari medan-medan demonstrasi, misalnya "Black 14", menjadi rujukan segera dan berwibawa kepada mereka yang berminat mengikuti isu-isu politik negara.

Sebenarnya semua laman web, dengan kemudahan teks, grafik dan pandang-dengar, boleh menandingi sampah-sampah propaganda media kerajaan tetapi jika tiada tenaga manusia dan kreativiti, maka teknologi tidak dapat membantu aktivis pembangkang negara ini.

Begitu juga komunikasi telefon. Polis menggunakan alat komunikasi "walkie-talkie" untuk mengawal kumpulan demonstran. Kumpulan reformasi menggunakan kemudahan telefon tangan untuk berkomunikasi, kesannya sama sahaja (walau komunikasi ini mudah dipintas pihak berkuasa dan tidak terjamin keselamatannya kecuali dicipta kod khas).

Ia sudah dibuktikan ketika demonstrasi "Black 14" tahun lalu tetapi aktivis reformasi dan pembangkang negara ini tidak pernah mengambil berat soal ini - soal media, bilik berita dan bilik gerakan sebaran maklumat untuk memecahkan rangkaian propaganda pemerintah.

Terlalu banyak ruang isu dicipta oleh media kerajaan yang boleh dimanfaatkan untuk serangan balas (counter-attack) untuk mencairkannya atau membawa pulangan kepada pembangkang. Alahai, sayangnya tidak ada siapa pun memanfaatkannya!

Sehingga ke hari ini (sejak September 1998), penyokong reformasi tidak pernah mempunyai bilik berita atau rangkaian pemberita yang tersendiri untuk melaporkan perkembangan perhimpunan atau untuk tujuan dokumentasi! Malah, kelihatan lebih jahil lagi, hal ini tidak pernah ia dibawa masuk dalam agenda mesyuarat. Malah, sekali dua pernah saranan itu muncul seimbas lalu tetapi disisihkan begitu sahaja.

Penyokong pembangkang mungkin ghairah ingin mengetahui bagaimana telefon bimbit menjatuhkan Estrada atau internet boleh menumbangkan Suharto. Pokok pangkalnya bukan teknologi kerana kemudahan itu sudah terpampang di depan mata.

Pokoknya ialah tenaga manusia, kreativiti aktivis, kepintaran pakar strategi dan pengorganisasian pengikut reformasi-pembangkang yang membantutkan penggunaan teknologi. Jika datang lagi teknologi lebih canggih pada masa depan, nescaya orang cetek akal akan ketinggalan lagi.

Tetapi mujurlah, bak kata Pak Tedjabayu, aparat keamanan di Indonesia (samalah juga negara ini) khasnya di kalangan juru propagandanya atau perisik kerajaan bukanlah "internet savvy"! (Kutipan penuh seperti berikut: Of course, it has been a bonus that there is a scarcity of people among the security forces and intelligence service who have Internet savvy.)

Tetapi kita harus sentiasa lebih pintar dan licik daripada musuh, ibarat kancil dengan buaya dan harimau. Maklumat itu kuasa.

............................................................................................
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini dan pandangan ini bersifat peribadi. Beliau boleh dihubungi di fathi@malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 9 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com