Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bon RM19 bilion: ‘Sampah’ laman web proreformasi

Fathi Aris Omar

Sebuah laman web yang kononnya ingin menggerakkan reformasi dari dalam Umno mendakwa laman-laman web proreformasi sebagai “pengeluar sampah yang kotor dan menjijikkan.”

Tetapi sebelum sebuah akhbar perdana mendedahkan, laman-laman reformasi beberapa hari lebih awal membocorkan maklumat tentang dalang di sebalik penyelewengan bon RM19 bilion.

Akhbar The Star semalam melaporkan sekurang-kurangnya tiga eksekutif kanan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) disyaki terlibat dalam skandal terbaru itu dan sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah.

“Perkara ini sebenarnya telah dibincangkan dalam satu mesyuarat pascakabinet (Kementerian Kewangan) dua minggu lalu,” laporan itu memetik satu sumber kementerian.

Bagaimanapun, Laman Reformasi dan Komentar minggu lalu telah menyebutkan “perompak-perompak” yang dikatakan menggunakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, PUNB.

“Awang Siber (seorang penulis web) pada mulanya menunggu juga pendedahan media-media perdana institusi mana yang terlibat dalam pengeluran bon tetapi harapan tersebut meleset sama sekali,” kata penulisnya pada satu tulisan yang diterbitkan 28 Januari lalu.

“Maka, terpaksalah Awang Siber mendedahkan (institusi tersebut) dalam media internet ini untuk pengetahuan umum.”

Isu yang mengejutkan - tetapi senyap dan penuh misteri ini - pertama kali didedahkan di halaman depan akhbar The Sun pada 21 Januari lalu. Laporan itu menyebutkan beberapa maklumat penting tetapi tidak menamakan sebarang institusi kecuali “sebuah badan berkanun yang merupakan anak syarikat sebuah perbadanan awam yang besar.”

Penyelewengan ini kemudiannya turut dipaparkan oleh akhbar Berita Harian.

Jika sumber akhbar The Star tepat, ini menunjukkan wartawan The Sun mendapat maklumat tersebut selewat-lewatnya hanya beberapa hari selepas mesyuarat pascakabinet itu. Wartawan selalunya mengambil masa dan sungguh teliti sebelum memaparkan isu yang sebegini ‘panas.’

Siasatan berhenti sekerat jalan

Sementara penulis web proreformasi itu mendapat maklumat dalam tempoh seminggu selepas laporan akhbar Inggeris itu, atau malah lebih awal sedikit. Dalam tulisannya, Awang Siber turut melampirkan satu salinan sijil bon yang akan tamat pada tahun 2012. Jika salinan ini sah dan asal, ia mengandungi tiga penandatangan.

Bagaimanapun, ulasan Awang itu lebih padat balutan politiknya. Misalnya, The Sun sekadar menyebutkan “seorang asing” sedang disiasat walau tidak menamakan kewarganegaraannya. Laporan The Star pula menyebutkan seorang warga Singapura dipercayai sedang disiasat, sementara warga Britain belum lagi disiasat.

Tetapi Awang Siber pergi lebih jauh menyebut beberapa tokoh politik negara turut terlibat dalam skandal ini.

“Sebenarnya wang ini (yang diselewengkan) digunakan untuk membeli saham-saham syarikat kepunyaan (seorang tokoh politik) dan (seorang lagi tokoh politik) serta kuncu-kuncu mereka sebelum mereka cabut lari dari negara ini...,” tulis Awang, menganalisa keadaan politik negara.

Kelebihan Awang melalui laman web proreformasi, berbanding dua akhbar Inggeris itu, ialah beliau tidak perlu bertanggungjawab terhadap tulisannya, sementara akhbar harus mengesahkan dan mengesahkan kembali beberapa fakta.

Bagaimanapun, siasatan akhbar selalunya terhenti sekerat jalan apabila tidak ada sumber yang dipercayai dan dekat dengan sesuatu isu itu bersedia membuka mulut. Setakat tip-off kosong, sukar bagi wartawan dan media bertanggungjawab kepada pembacanya.

Tetapi laman web proreformasi dengan selamba sahaja - seperti gaya Awang - membocorkan apa yang tersirat di sebalik sesuatu isu. Ia memang “sampah’ tetapi kepada rakyat yang melarat, merempat dan pada kedana, sisa nasi yang tercampak di bakul itu sudah cukup untuk mengenyangkan mereka.

Inilah sebenarnya ‘sampah’ yang terdapat dalam laman web proreformasi - di celah-celahnya penganalisis politik menghidu perkembangan semasa, khususnya yang tidak (atau sangat sukar) dilaporkan oleh media arus perdana, malah media bebas seperti malaysiakini.

Budaya kemayaan nyata

Laman Komentar misalnya, pernah mendedahkan beberapa dokumen yang dikatakan dipetik daripada siasatan kes penyelewengan syarikat besi keluli, Perwaja. Bagaimanapun, tidak ada media bukan web yang melanjutkan siasatan. Sama ada dokumen itu palsu atau dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) - sekalipun benar dokumen itu, anda tetap dianggap “berdosa” kepada negara ini!

Oleh itu, laman-laman web proreformasi masih mendapat sambutan pembaca, khususnya di kalangan peminat politik negara. Tabiat bergantung kepada khabar angin (selalunya secara lisan) dan surat layang sebelum ini diperpanjangkan pula ke ruang siber untuk mencari kebebasan baru.

Keperluan maklumat seumpama ini akan terus wujud dalam negara yang dikawal regim kuku besi dan tertutup. Kepuasan pengumpul dan penyebar maklumat ini digerakkan oleh faktor yang disebut exclusivity of information atau dalam istilah ekonomi disebut scarcity of resources.

Orang berasa bangga mendapat maklumat ‘sulit’ atau ‘eksklusif,’ dan berasa gatal untuk menyebarkannya.

Oleh itu, ruang siber yang bercantum dengan ruang nyata (istilah ilmiah, the culture of real virtuality atau budaya kemayaan nyata) kini menjadi serangkaian sebaran maklumat yang boleh mengikis kepercayaan orang ramai apabila media perdana cuba menyembunyikannya atau gagal memberikan laporan bertanggungjawab.

Peranan ‘Awang Siber’ dan laporan The Star semalam itu menunjukkan budaya kemayaan nyata semakin kuat kesannya ke atas kita semua. Kita tidak dapat memisahkan lagi simbol-simbol komunikasi nyata (akhbar bercetak) dengan alam siber. Yang utama, kedua-duanya komunikasi dan ia mengkomunikasikan siasatan tentang penyelewengan bon RM19 bilion.

..........................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 4 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com