Perlaksanaan undang-undang jenayah Islam atau disebut hudud adalah satu kewajipan kepada pemerintah. Kerana itulah maka ketika PAS mula mentadbir Kelantan, satu Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah telah diluluskan pada tahun 1993.
Malangnya usaha murni ini dihalang oleh kerajaan Pusat pimpinan Dr Mahathir yang memberi amaran keras kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz agar tidak meneruskan hasrat melaksanakan hudud.
Lalu PAS menghantar surat meminta diadalah muzakarah bagi memberikan penjelasan kenapa hudud perlu dilaksanakan. Tapi surat yang dihantar khabarnya tidak berjawab.
19 Februari nanti PAS akan bertemu pemimpin BN. Agenda perbincangannya adalah terbuka. Maka inilah masa terbaik untuk membangkitkan kembali soal perlaksanaan hudud ini. Waktu inilah yang sesuai untuk kita mengorak langkah ke hadapan bagi menghayati undang-undang Islam ini, bukannya menoleh kebelakang bagi melayan isu perpaduan Melayu yang dijaja oleh UMNO.
Dengan cara ini PAS bukan sahaja dapat lari dari rentak tari yang dicipta oleh UMNO bahkan dapat menarik UMNO untuk mengikut rentak yang dicipta sendiri oleh PAS. Dalam masa yang sama PAS mempunyai masa yang cukup sebelum Pilihanraya Umum 2004 untuk menjelaskan tentang undang-undang Islam kepada rakyat khasnya bukan Islam dan rakan BA lain terutamanya DAP.
Tarikh 19 Februari tak lama lagi. Pimpinan PAS samada Presiden atau Menteri Besar Kelantan atau Terengganu boleh membuat pengumuman bahawa hudud akan dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu. Jika pengumuman ini dibuat menjelang muzakarah nanti, UMNO tentu terpaksa membincangkan soal hudud ini, bukan soal Melayu semata-mata.
FardosLeh