Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Apa khabar Anwar ?

Oleh Zunar

Menjawab persoalan yang sering ditanya umum tentang keadaan semasa tokoh ulung reformasi

Sejak 1999, gambar atau berita-berita Anwar sudah tidak lagi disiarkan oleh media-media arus perdana. Seorang wartawan penyokong reformasi yang bertugas di Jalan Riong memberitahu, arahan lisan dikeluarkan agar media-media arus perdana menggelapkan berita Anwar. "Jika berita mengenai Anwar terlalu penting dan terpaksa juga disiarkan, kami arahkan untuk menyiarkan beberapa baris saja di muka surat yang tercorot, " kata wartawan yang merupakan kenalan lama penulis itu. Menurutnya, tujuan arahan ini supaya Anwar beransur-ansur dilupakan rakyat Malaysia.

Persoalannya, apakah rakyat Malaysia sudah memaafkan kezaliman Mahathir, seterusnya melupakan Anwar? Jawapan tegasnya, tidak! Buktinya ceramah-ceramah Azmin dan Ezam yang selalu menyajikan perkembangan terbaru mengenai Anwar sentiasa mendapat sambutan hangat. Harakah, laman web atau penerbitan-penerbitan pro-reformasi yang selalu menyiarkan berita-berita terbaru mengenai Anwar tak pernah pudar popularitinya. Penulis sendiri selalu ditanya khabar Anwar, sama ada secara langsung atau melalui email.

Di bawah ini dicatatkan beberapa soalan yang selalu ditanya mengenai Anwar serta jawapannya.

Di mana Anwar sekarang?

Setakat rencana ini ditulis, Anwar masih berada di tingkat 5 , bilik no 10, wad 28 Hospital Kuala Lumpur ( HKL ), Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Beliau mula dimasukkan ke HKL sejak 25 Nov 2000.

Apakah penyakit Anwar?

Beliau mengalami slipped disc, iaitu sejenis penyakit di mana tulang-tulang rawan di antara tulang-tulang belakang seseorang tergelincir dari kedudukan asalnya. Foto MIR (Magnetic Resonance Imaging) scan yang dibuat di Hospital Selayang sebelum itu menunjukkan anjakan tulang rawan di bahagian lumbar (pinggang) yang besar.

Laporan dari sumber yang rapat dengan keluarga Anwar menyatakan anjakan ini melebihi 50% dari kedudukan asal. Ini mengakibatkan kaki kiri Anwar mengalami kebas dan beliau dilaporkan tidak mampu berdiri lama.

Punca penyakit.

Mengikut analisis doktor pakar sebuah hospital tempatan, salah satu punca slipped disc ialah seseorang itu terjatuh di tempat yang keras. Dr Wan Azizah Ismail melalui ruangan "Salam Reformasi", Harakah, mengingatkan bahawa kali terakhir Anwar terjatuh dalam keadaan seperti itu ialah di lokap Bukit Aman pada 20 Sept 1998. Dalam kejadian itu Anwar ditumbuk bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor mengakibatkan beliau terjatuh.

Bagaimana rawatan Anwar sekarang?

Beliau terpaksa berbaring di atas katil sepanjang masa. Kakinya diikat dengan beban bahan pemberat. Menurut ahli keluarga yang melawat Anwar, kaedah ini menyebabkan beliau terpaksa menahan sakit yang amat sangat. Anwar juga tidak dapat berdiri lama.

Apa komen Mahathir?

Mengikut laporan laman web rasmi Free Anwar Campaign (http://www.freeanwar.com/), Mahathir memberitahu wakil Kongres Amerika yang melawat Malaysia bahawa Anwar berpura-pura sakit. Bulan September 1998, Mahathir juga menyatakan Anwar memukul diri sendiri untuk mendapat simpati dalam kes mata lebam.

Bolehkan Anwar diziarahi?

Orang awam dilarang sama sekali menziarahi Anwar. Ini bertentangan sekali dengan kenyataan Mahathir kepada wakil-wakil Kongres Amerika bahawa semua orang bebas menziarahi Anwar. Sebenarnya hanya keluarga terdekat, isteri dan anak-anak sahaja, dibenarkan melawat Anwar, itu pun setelah bantahan dibuat. Pada 1 Jan lalu, lebih 500 orang berhimpun di ruang legar kaki lima wad 28 membantah peraturan melarang ahli keluarga Anwar menziarahinya.

Apakah Anwar memerlukan pembedahan?

Dalam kenyataan medianya Wan Azizah Ismail menyatakan: "Panel rawatan tujuh orang doktor pakar yang menyelia keadaan kesihatan Anwar mendapati sakit tulang belakang beliau bertambah serius dan memerlukan pembedahan.

"Panel yang diketuai Dr Mohd Borhan Tan Abdullah dan Dr Jeyaindran itu mencadangkan pembedahan ke atas tulang belakang beliau dijalankan. Ia dicapai dalam satu mesyuarat panel tersebut yang diadakan pada 7 Dis lepas."

Mungkin pembedahan terdedah kepada risiko.

"Perkembangan ini amat membimbangkan memandangkan pembedahan seumpama itu adalah berisiko tinggi termasuk boleh mengakibatkan lumpuh," kata Azizah. Anwar memilih kaedah pembedahan endoscopik microsurgery.

Huraikan lebih lanjut.

Kaedah ini menggunakan teknik baru dengan risiko paling minima serta lebih selamat berbanding cara konvesional. Alpha Clinic di Munich, Jerman adalah antara institusi terkenal yang pakar melakukannya. Dr Thomas Hoogland telah melakukan 6000 pembedahan ini dengan kejayaan 90%.

Benarkah Anwar memohon untuk menjalani pembedahan di luar negara?

Sebenarnya Anwar tidak pernah memohon secara khusus untuk menjalani pembedahan di luar negara. Menurut peguam Sankara N Nair, apa yang Anwar lakukan ialah memohon kepada hospital bagi mendapatkan pakar dari Jerman untuk memeriksa dan memberi cadangan apakah jenis pembedahan yang paling sesuai dan kurang berrisiko.

"Bukan bererti Anwar memohon untuk dibedah di luar negara, cuma setakat yang diketahui belum ada pakar-pakar tempatan yang mahir dalam melakukan endoscopik microsurgery. Jika ada klinik atau hospital tempatan dengan kepakaran dan pengalaman setara dengan Alpha Clinic, tiada masalah untuk Anwar melakukannya di sini," kata Sankara.

Sebagai banduan, apakah Anwar berhak memilih pembedahan yang difikirkan sesuai untuk dirinya?

"Adalah menjadi hak mutlak mana-mana pesakit untuk membuat pilihan terhadap jenis dan kaedah rawatan dan juga doktor yang merawatnya kerana ia melibatkan tubuhnya sendiri. Justeru, tidak ada pemerintah atau pihak berkuasa yang berhak menghalang pilihan tersebut meskipun pesakit itu sedang menjalani hukuman. Hukuman tidak boleh menafikan hak mutlak individu terhadap tubuhnya sendiri," kata seorang ahli keluarga Anwar.

Benarkah Anwar akan dihantar pulang ke Sungai Buloh dalam jangka waktu terdekat?

Harakah keluaran 15 Feb 2001 melaporkan kenyataan keluarga dan peguam Anwar yang membantah langkah Menteri Dalam Negeri, melalui Jabatan Penjara untuk menyegerakan penghantaran balik Anwar ke penjara Sungai Buloh. Arahan perpindahan dibuat setelah Setiausaha Politik Abdullah Badawi, Othman Desa dihantar melawat sel Anwar di Sungai Buloh. "Kami menyesali tindakan Abdullah Badawi kerana sanggup mengambil tindakan pribadi dan bermotif politik untuk menambah penderaan terhadap Anwar," kata keluarga Anwar.

Kenapa langkah ini dibantah?

Abang Anwar, Idrus Ibrahim menyifatkannya tindakan zalim kerana Anwar masih memerlukan rawatan rapi di HKL. "Keadaan Anwar sangat kritikal kerana bukan saja beliau sedang mengalami slipped disc tetapi juga sedang menahan sakit internal. Tambahan pula Anwar masih menunggu jawapan pembedahan," kata Idrus.

Bantahan juga dibuat kerana Anwar bakal ditempatkan dalam bilik sel kecil yang biasanya dikhaskan kepada pesakit jiwa atau banduan bersikap ganas.

Apa pandangan Islam mengenai hal ini.

Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan, menurut ajaran Islam, hukuman penjara patut ditangguhkan ketika sesaorang itu sedang sakit. "Oleh itu, hukuman ke atas Anwar patut ditangguhkan sehingga beliau sihat," kata Hadi.

Benarkah berita yang mengatakan kamar Anwar di HKL digeledah?

Dalam laporan polis bernombor 3264/2001 bertarikh 5 Feb 2000 Anwar menyatakan kamarnya di HKL digeledah ketika beliau dibawa keluar untuk menjalani rawatan di Hospital Selayang pada 20 Dis lalu. Terdahulu, dalam kejadian berasingan, visual asli MIR scan Anwar di Hospital Selayang pada 24 Nov lalu dilaporkan sengaja dipadamkan dari mesin scanner komputer hospital itu.

Siapa yang menggeledah biliknya?

Dalam laporan polis Anwar menamakan dua pegawai penjara iaitu, TPP Husin Mastan dan PP Baskaran. Menurut Anwar antara barang-barang yang hilang ialah dokumen perundangan dan laporan perubatannya.

Kenapa wawancara Mahathir dengan Asiaweek baru-baru ini menjadi kontroversi?

Dalam wawancara itu, antara lain Mahathir mengakui a beliau memecat Anwar kerana bimbang Anwar akan menyingkirkan beliau. "Saya tak sangka orang yang pernah saya tolong sanggup berbuat sedemikian" kata Mahathir. Ini mengesahkan kenyataan Anwar bahawa tuduhan-tuduhan terhadapnya selama ini adalah fitnah, dan beliau adalah mangsa konspirasi politik Mahathir.

Benarkah Mahathir tidak begitu gembira dengan wawancara tersebut?

Mahathir menuduh Asiaweek sengaja memilih dan menyiarkan gambar beliau yang nampak hodoh dan tua. (Hmm ... apakah anda merasakan dia handsome dan muda?)

.................................................
Petikan Detik Daily


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 25 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com