Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KeADILan tolak, Fadzil terima jemputan Mahathir Saling menyempurnakan serangan

Oleh Dinsman

Rupa-rupanya ramai orang terus mencurigai kebijaksanaan Presiden PAS Ustaz Fadzil Noor menerima jemputan Dr Mahathir untuk bertemu dan berbincang mengenai isu 'perpecahan/perpaduan Melayu'.

Beberapa orang kuat BA sendiri pun turut sama dalam arus curiga tersebut. Bahkan ada juga di kalangan orang BA sendiri mengambil kesempatan cuba merendah-rendahkan kredibiliti PAS pimpinan Ustaz Fadzil.

Tidak dinafikan, memang banyak kekeliruan sedang berlegar di kalangan penyokong BA. Bahkan tidak dinafikan ramai tokoh-tokoh pimpinan BA, malah pimpinan PAS sendiri pun, turut menyemarakkan lagi kekeliruan itu. Maka kalau mengikut analisis strategi politik Mahathir yang dibuat oleh Azmin Ali, Mahathir telahpun menang kerana di peringkat awal lagi dia telah berjaya menimbulkan kekeliruan di pihak 'lawannya'.

Hinggakan cerita kononnya secara sulit-sulit wakil BN dan wakil PAS berunding supaya PAS diberi beberapa jawatan dalam kabinet Mahathir …. Sampai begitu sekali! Dan orang-orang BA pun turut mempercayai cerita tersebut dan turut pula menyebarkannya. Dan ini bukan di peringkat bawah.

Memang banyak kekeliruan. Tetapi apakah Mahathir telah menang dan Fadzil telah kalah? Nanti dulu! Cuba semak kembali sebenarnya siapa yang berada pada kedudukan yang selesa, dan siapa pula yang berada pada kedudukan yang terdesak? Siapa yang berada pada kedudukan yang untung, dan siapa yang berada pada kedudukan yang rugi.

Dari segi semangat dan emosi memanglah kita akan berasa menang kalau jemputan Perdana Menteri diktator yang angkuh itu kita tolak. Memang kita akan berasa menang bila kita berbuat demikian. Tetapi itu kita hanya "berasa". Hakikatnya belum tahu lagi siapa akan menang sebenarnya.

Demikian jugalah sebaliknya. Orang mudah saja mengatakan Fadzil sudah terperangkap dalam jerat Mahathir, apabila dia menyatakan bersetuju menerima jemputan tersebut. Bahkan ada yang membuat perbandingan "musang menjemput ayam ke jamuan makan", pasti ayam itu pun akan dimakan oleh musang; seolah-olah Mahathir itu musang dan Fadzil itu ayam.

Soalnya apakah kita berfikir bahawa Mahathir itu musang dan Fadzil itu ayam? Bodoh sangatlah barangsiapa yang masih berfikir begitu, 'kan!

Saya sebenarnya menyokong pendirian Fadzil untuk berjumpa Mahathir. Tulisan saya dalam "Oposisi" sebelum ini yang mempersoalkan "Apa Kebijaksanaan Fadzil?" itu bukanlah mempersoalkan pendiriannya, tetapi mempersoalkan: apakah kebijaksanaannya kali ini?

Diktator angkuh yang sekian lama menunjukkan kesombongannya itu, yang selama ini menolak mentah-mentah cadangan PAS untuk bermuzakarah, tiba-tiba berlembut menyatakan keinginannya untuk berjumpa Presiden PAS, mengajak sama-sama berfikir bagi menyelesaikan satu masalah yang dia mengaku telah gagal untuk menyelesaikannya sendiri.

Anda boleh berhujah, bahawa perubahan sikap Mahathir itu bukanlah satu pernyataan kelemahannya, tetapi adalah satu taktik dan strateginya untuk memerangkap musuhnya.

Tidak mengapa. Bolehlah juga kita berfikir demikian. Tetapi dalam keadaan hari ini, yang kita semua sama-sama arif siapa yang terdesak (dan kenapa dia terdesak) dan siapa yang selesa, serta siapa yang kedudukannya kuat dan siapa yang kedudukannya lemah, mengapakah kita perlu berfikir hanya Mahathir saja yang mempunyai perangkap dan Fadzil tidak ada perangkap? Kenapa kita tidak berfikir akan kemungkinan Mahathir yang kali ini akan masuk ke dalam perangkap Fadzil?

Mengapakah minda kita masih boleh terima dakyah dan hasutan yang mengatakan PAS akan menerima tawaran Mahathir untuk menduduki beberapa jawatan dalam kabinet BN? Itu menunjukkan betapa kita sendiri masih jahil memahami prinsip dan perjuangan PAS hari ini.

Tidakkah kebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz menjawab pelawaan Tengku Razaleigh menjelang pilihan raya 1999 dulu sudah cukup bagi kita memahami situasi tersebut? Tengku Razaleigh tawarkan jawatan Mufti kepada Nik Aziz kalau BN berjaya merampas Kelantan. Nik Aziz tak tolak. Tetapi dia menjawab: "Kalau saya jadi mufti, fatwa pertama saya ialah Umno itu haram."

Maka salah dan kalahkah misalnya, kalau Fadzil berjumpa Mahathir, apabila ditanya Mahathir apa pandangannya untuk menyelesaikan masalah perpecahan Melayu maka Fadzil menjawab: "Senang saja, kerana yang menjadi punca semua ini ialah Mahathir, maka untuk menyelesaikannya Mahathir kena undur."

Ataupun begini: "Yang menjadi punca semua masalah ini ialah kerana Anwar Ibrahim dizalimi dan rakyat tidak boleh menerimanya, maka untuk menyelesaikannya mudah saja: Bebaskan Anwar."

Apalah yang kita nak marahkan Fadzil bersetuju hendak berjumpa Mahathir? Memanglah. Pihak Umno dan pihak Mahathir kata perjumpaan itu untuk bincang masalah penyatuan Melayu. Kita di pihak BA semua sepakat mengatakan masalah itu tidak wujud, lalu buat apa kita nak berjumpa dan berbincang. Fadzil kata dia nak bincang masalah nasional yang lebih luas.

Dan macam-macamlah lagi pendapat tokoh-tokoh BN dan BA mengenai perkara itu. Syarat itulah, inilah. Kata Pak Lah Badawi mudah saja. Yang nak berjumpa ialah Mahathir dan Fadhil. Biarlah mereka berjumpa dulu. Apa yang mereka nak cakap nanti terpulanglah kepada mereka.

Kita pula semuanya setuju mengatakan isu perpecahan Melayu itu adalah satu ciptaan Mahathir sahaja, untuk mengatasi masalahnya sendiri yang sedang dihadapinya di dalam Umno. Ertinya isu perpecahan Melayu itu tidak ada. Mahathir saja-saja cipta isu itu, dan ajak Presiden PAS dan keAdilan berjumpa. Isu ciptaan itu hanya satu alasan saja.

Apa salahnya Fadzil mengambil kesempatan ini untuk bercakap terus terang di depan Mahathir sendiri apa-apa yang selama ini dia bercakap di merata tempat dalam ceramah-ceramahnya.

Atau sebagai seorang Islam dia menasihati Mahathir supaya bertaubat, kerana telah menghina Rasulullah, atau kerana telah menabur faitah yang merupakan satu dosa besar, dan sebagainya.

Satu perkara yang ramai orang kurang memberi perhatian ialah sikap keterbukaan PAS. Selama ini PAS dilabel sebagai parti ekstrimis, taksub, fanatik dan sebagainya. Padahal PAS mempunyai sikap yang sangat terbuka, asalkan ia tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. PAS sentiasa bersedia untuk berdialog, berhujah, berunding dan bermuzakarah.

Berpandukan prinsip keterbukaannya itulah sebenarnya pun maka termungkinnya wujud muafakat yang bernama Barisan Alternatif itu. Tanpa prinsip itu tak mungkin PAS boleh duduk semeja dengan DAP yang sekian lama saling bermusuh.

Maka adalah tidak bertepatan dengan prinsipnya sendiri sekiranya PAS menolak pelawaan Mahathir itu. PAS kena terima pelawaan untuk bermuzakarah itu. Dan PAS kena gunakan peluang ini sebaik-baiknya.

Berbeza dengan keADILan. Memang berbeza dalam hal ini. Tidak mengapa. Ini hanya salah satu pendekatan perjuangan saja. Matlamatnya tetap sama. KeADILan dengan gaya pendekatannya yang baru, menolak terus jemputan tersebut.

Keputusan itu memang sesuai dan tepat sekali untuk diambil oleh keADILan. Lagipun, tak mungkin kita membayangkan Wan Azizah akan duduk bersemuka dengan Mahathir membincangkan apa-apa isu pun, setelah apa yang telah dilakukan oleh Mahathir ke atas Anwar Ibrahim, suaminya.

Biarlah kita menerima perbezaan antara komponen BA dalam perkara ini. Perbezaan pendekatan antara PAS dan keADILan ini sebenarnya saling menyempurnakan serangan BA terhadap Mahathir.

Ia sama sekali tidak akan menjejaskan perpaduan BA. Kerana PAS menghulur tangan kepada Mahathir, apakah dia akan meninggalkan rakan-rakan keADILan, DAP dan PRM? Tidak! PAS tidak akan tinggalkan rakan-rakan itu hanya kerana dia menyambut salam Mahathir.

Sebenarnya di kalangan parti-parti BA terdapat asas persefahaman dan permuafakatan yang cukup kuat, jauh lebih kuat daripada isu yang dikata-katakan boleh merenggangkan hubungan ini. Dan kekuatan itu memang teruji lagi dengan adanya permasalahan isu ini.

Sebelum ini pun ia telah diuji dengan isu konflik pemilihan calon pilihan raya Lunas. Ternyata konflik itu tidak berjaya menjejaskan persefahaman dan permuafakatan tersebut. Kekeliruan di sekitar isu yang dicipta oleh Mahathir kali ini pun, insya-Allah tidak akan menjejaskannya.

Cuba kita perhatikan, sejak timbulnya isu ini pelbagai perbincangan telah berlaku. Ini perkembangan yang cukup menarik. Misalnya perbincangan mengenai apakah 'perpaduan Melayu' atau 'perpaduan nasional' yang merupakan isu sebenar kita? Perbincangan ini berlaku begitu rancak sekali sehingga berjaya memperjelaskan kepada masyarakat seluruhnya bahawa kita hari ini sebenarnya telahpun berjaya melepasi tembok perkauman itu.

Ini realiti baru masyarakat kita. Dan realiti baru ini dengan sendirinya telah menjadikan Umno sebagai sebuah parti yang tidak lagi relevan. Tak usahlah Mahathir nak bermain-main perangkap lagi dengan kita. Dia sendirilah yang akan terperangkap dalam jerat ciptaannya.

Perbincangan-perbincangan yang rancak ini tidak akan terjadi sedemikian sekiranya PAS terus menolak jemputan Mahathir itu. Dan ia menjadi tambah rancak lagi apabila keADILan menolaknya. Memang ia turut juga menimbulkan pelbagai kekeliruan yang boleh membimbangkan.

Tetapi bertenanglah. Di Lunas dulu pun begini juga. Banyak kekeliruan terjadi. Namun akhirnya kemenangan berada di pihak kita. Insya-Allah.

...............................................
Petikan Detik Daily


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com