Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mengapa Heboh Tentang Bintang?

Cili Api geli geman campur rasa mual mengikuti telatah sesetengah media dan pemimpin UMNO tentang penarikan bintang kebesaran dua orang ahli Exco PAS oleh Sultan Kelantan. Media dan pemimpin ini bukan main lagi hendak membela Sultan Kelantan sambil memberi amaran, terutama sekali kepada pemuda PAS.

Kata mereka tidak patut pihak PAS membuat cadangan hendak meminda Perlembagaan bagi membataskan keistimewaan raja dan memberi kata dua supaya pihak Sultan menjelaskan dalam seminggu berhubung penarikan bintang itu. Tidak cukup dengan menimbulkan Akta Hasutan, mereka ungkit pula tentang adat resam Melayu. Hebat, hebat sungguh!

Cili Api masih ingat benar, kira-kira lapan tahun lalu, apabila berlaku krisis perlembagaan, yang melibatkan UMNO dengan sultan-sultan, macam-macam yang telah dilakukan oleh menteri perdana dan juga media perdana. Mereka tuduh raja-raja zalim, rasuah dan membazir. Mereka tuntut supaya diambil tindakan untuk menyekat raja-raja supaya tidak boleh bermaharajalela. Mereka hasut sesetengah golongan supaya mencabar kedudukan Sultan Kelantan dan menuntut beliau diganti dengan yang lain.

Pada masa itu tidak siapa pun di kalangan mereka yang mengambil hirau tentang Akta Hasutan. Cili Api memang bersetuju dengan sesetengah tuduhan serta tuntutan mereka terhadap raja-raja itu. Bahkan Cili Api lebih setuju jikalau Sultan itu betul-betul dijadikan lambang saja, tidak lebih dari itu. Dan kalau hendakkan lambang, mengapa sembilan? Mengapa tidak cukup dengan satu saja?

Selepas selesai lentam lentum dari krisis perlembagaan, nampaknya kedudukan raja-raja tidak berubah sangat, selain daripada pindaan Perlembagaan untuk membentuk Mahkamah Khas bagi membicarakan Sultan, jikalau perlu. Tetapi yang lebih aneh sekali ialah perubahan di kalangan pihak-pihak yang menuduh dan menentang raja-raja itu.

Mereka kata raja zalim, tapi mereka lebih zalim lagi dengan menggunakan polis dan mahkamah yang dikuasai. Mereka tuduh raja-raja membazir, akan tetapi mereka lebih membazir lagi, membina mahligai dan projek-projek mega yang membazir dengan menggunakan wang rakyat. Mereka tuduh raja-raja korupsi, akan tetapi korupsi mereka sendiri lebih teruk lagi. Bahkan dalam segala hal mereka lebih feudal.

Sebenarnya Cili Api merasa pelik mengapa pihak PAS merasa kecewa Sultan Kelantan menarik balik pingat dua orang anggota Exco itu. Sepatutnya mereka bersorak gembira. Sepatutnya semua Exco dan pemimpin PAS yang menerima bintang itu pulangkan saja bintang mereka. Itu Ketua Pemuda PAS Pasir Mas, jangan buat heboh saja hendak pulangkan bintang yang telah diberikan. Pulangkan sajalah tanpa lengah-lengah.

Buat Apa hendak dipuja bintang di dada pemberian raja, manakala sudah ada banyak bintang di langit yang dianugerahi Allah?

Cili Api


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com