Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mahligai Seri Perdana Bukan Membazir?

Hari ini akhbar melaporkan satu komen yang menarik daripada Timbalan MB Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Apabila diminta oleh sebuah akhbar untuk mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor, yang menyokong sebarang tindakan Kerajaan Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi mengurangkan kuasa raja, Halim menegaskan beliau tidak boleh mengulas. Katanya, dalam hal ini hanya Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, selaku orang nombor satu dalam kerajaan Kelantan, yang boleh memberi komen. Selanjutnya, Halim menyatakan beliau tidak juga boleh mengulas tentang dasar parti. Ini hanya boleh dilakukan oleh Presiden, dan bukan oleh seorang Bendahari, jawatan parti beliau.

Sikap orang nombor dua kerajaan Kelantan ini betul juga. Tetapi ada lanjutan kenyataannya ini, dalam laporan berita yang sama, yang Cili Api kurang faham. Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa, sebagai anggota Exco kerajaan Kelantan, beliau boleh membuat kenyataan berhubung perkara-perkara di bawah bidang kuasanya. Akan tetapi kenyataan seumpama itu merupakan kenyataan peribadi. Mengapa?

Hal ini mengingatkan Cili Api tentang sebuah wawancara TV yang Cili Api lihat pada malam perasmian Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan. Yang diwawancara ialah Halim. Berdiri sebelahnya ialah Menteri Penerangan, Tan Seri Khalil Yaakub. Kedua-duanya berpakaian segak cara Barat. Agaknya Halim menghadiri majlis perasmian itu selaku wakil kerajaan Kelantan. Dalam wawancara tersebut, orang nombor dua dalam kerajaan Kelantan dan entah nombor berapa dalam PAS ini telah membuat kenyataan yang sepatutnya tidak dibuat oleh beliau.

Lebih kurang kenyataan Halim itu berbunyi begini: Projek Putrajaya bukan pembaziran. Mungkin sekarang ini ada pihak yang memandangnya sebagai projek membazir. Tetapi pada masa akan datang mungkin orang akan menganggapnya tidak membazir. Projek ini membuktikan pandangan jauh Perdana Menteri Dr Mahathir. Putrajaya semacam Washington DC di Amerika dan No 10 Downing Street di England.

Macam mana Halim boleh membuat ulasan sebegini rupa? Lupakah beliau Presiden PAS dan ramai pemimpin PAS yang lain telah berulang kali menegaskan projek mega ini sebagai tidak menguntungkan rakyat dan tidak ekonomik? Bukankah mereka selalu menyebut mahligai Seri Perdana itu sebagai pembaziran besar? Itu sebab Fadzil Noor kata dia hendak melelongnya.

Lagi pula, perbandingan Putrajaya dengan No 10 Downing Street itu tidak tepat. Macam langit dengan bumi. No 10 itu sudah menjadi tempat kediaman dan pejabat rasmi bagi lepas seorang seorang Perdana Menteri British sejak beberapa abad lalu. Bentuknya sederhana saja. Tetapi dari situlah kerajaan British pernah memerintah empayar yang besar di seluruh dunia.

Tidak ada PM British yang hendak membazirkan wang rakyat untuk membina sebuah mahligai khas bagi dirinya, dikelilingi pula oleh sebuah bandar baru. Akan tetapi, PM Dr M @ Cek Det seorang saja telah berpindah mahligai Seri Perdana dua kali, tiap-tiap kali lebih mahal harganya dan lebih membazir. Agaknya boleh masuk buku rekod Guiness.

Cili Api sedih dengan kenyataan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman itu. Ia mengelirukan ramai rakyat yang mendengarnya. Hendak berbaik sangat dengan pemimpin BN kah? Apa tujuannya? Ada mimpi hendak tinggal di mahligai itukah?

Cili Api
9 Februari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com