Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bunga tanda kontroversi selesai: Nik Aziz

KOTA BHARU, Rabu – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap kontroversi antara kerajaan negeri dengan Istana Kelantan selesai apabila beliau menerima sejambang bunga daripada Sultan dan Raja Perempuan, hari ini.

Jambangan itu dihantar ke bilik beliau di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, pagi ini.

Nik Abdul Aziz, yang menjalani pembedahan telinga, mengalirkan air mata kerana terharu dengan ingatan Sultan dan Raja Perempuan itu.

“Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Tuanku kerana mengirim sejambak bunga yang sangat besar ertinya kepada saya. Dalam keadaan saya sakit uzur, Tuanku sebagai payung negeri sudi menghiburkan hati saya... saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

“Saya berdoa mudah-mudahan Tuanku berdua dalam keadaan sihat walafiat dan rakyat negeri ini duduk dalam keadaan aman tenteram. Tak usah timbul banyak masalah.

“Dalam saat kita mencari perpaduan, kita berdoa kepada Allah dan bersyukur sebanyak-banyaknya, saya sebagai ketua kerajaan berdoa sepanjang masa semoga Kelantan dan Malaysia berada dalam keadaan berpakat.

“Tuanku sendiri mengirim sejambak bunga yang dengan rasminya dibawa oleh pegawai tinggi istana, cukup-cukup saya terhibur sungguh. Saya anggap segala masalah selesai, yang sebelum ini dibuat oleh pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di HUSM Kubang Kerian, hari ini.

Jambangan bunga dengan kad bertulis ‘Semoga Cepat Sembuh’ daripada Sultan dan Raja Perempuan itu diletakkan di sisi katilnya.

Nik Abdul Aziz dimasukkan ke HUSM pagi Ahad lalu, bagi menjalani pembedahan kecil di telinga dan dinasihatkan doktor supaya berehat di hospital beberapa hari.

Katanya, beliau sempat meminta rakyat negeri ini supaya keluar beramai-ramai menyambut Sultan dan Raja Perempuan Kelantan yang pulang dari lawatan seminggu ke Dubai.

Beliau juga tidak dapat menghadiri mesyuarat parti di Kuala Lumpur pada 18 Februari ini dan perbincangan mengenai perpaduan dengan Umno pada hari berikutnya.

“Dalam seminggu dua ni, tak dapatlah saya beri kuliah agama... ceramah pun tak boleh,” katanya.

Hubungan antara kerajaan Pas Kelantan dan Istana dilaporkan tegang ekoran penarikan pingat dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Mohamad Daud, dan Takiyuddin Hassan, yang dikaitkan dengan penolakan permohonan tanah oleh Istana mengikut ‘Tanah Kesultanan’.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Istana dan Nik Abdul Aziz, turut mengesahkan tiada permohonan diterima dari Sultan untuk mendapatkan tanah pada dan sebelum 7 Januari lalu.

Minggu lalu, Menteri Besar menerima surat dari Istana yang memintanya membuat penjelasan berhubung kenyataan akhbarnya bertajuk ‘Isu Anugerah Tanah Kesultanan Tidak Berbangkit’.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun, tidak menjawab sendiri surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan, Serpudin Mohamad, kerana mendakwa kandungannya sama dengan surat terdahulu.

Sebaliknya, beliau mengarahkan Setiausaha Sulitnya, Nik Mohd Azlan Abdul Hadi, berbuat demikian dan ia dipercayai sudah dijawab.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com