Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Akhirnya ‘habuan’ kerajaan ditebus juga

Anakmelayu2001

Tindakan "murah hati" kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 10 peratus kepada kakitangan kerajaan semasa pembentangan belanjawan 2000 sejurus sebelum pilihanraya umum 1999 rupanya satu penipuan besar. Ternyata ramai yang terpengaruh dengan "rasuah" tersebut dan menukar fikiran di saat akhir dan kembali menyokong kerajaan. Mereka fikir kalau Barisan Nasional kalah maka tidak akan ada kenaikan gaji tersebut.

Setelah lebih setahun menikmati kenaikan gaji yang begitu besar bagi yang telah sedia besar gajinya dan setakat beberapa puluh ringgit bagi yang bergaji kecil, ternyata nilai 10 peratus itu sebenarnya terlalu kecil berbanding dengan "tindakan" kerajaan mendapatkan kembali "pelaburan" mereka itu.

Cara paling berkesan ialah menaikkan harga minyak sebanyak 10 peratus. Orang yang bodoh sahaja akan berkata kenaikan harga ini tidak akan memberikan kesan kepada kehidupan mereka. Akibat harga minyak naik inilah tambang bas awam dinaikkan, pengusaha bas sekolah menuntut kenaikan bayaran bas mereka, kos berulang-alik ke tempat kerja meningkat, Tenaga Nasional Bhd bakal menaikkan tarif bil elektrik, harga gas memasak turut naik dan segala macam benda lagi yang memerlukan pengangkutan akan naik secara otomatik.

Saya ulangi lagi di sini, hanya orang yang sememangnya bodoh sahaja mengatakan kenaikan minyak ini tidak banyak kesannya. Malang sekali di Malaysia ini, pemimpin yang dianggap begitu pandai dan mahir dalam menjana ekonomi negara ini boleh membuat ‘statement’ sedemikian rupa. Siapa yang bodoh sebenarnya di sini, pemimpin itu atau orang yang memilih pemimpin tersebut hanya disebabkan oleh beberapa ringgit tambahan pada gaji bulanan tetapi setelah ditolak perbelanjaan ternyata semakin berkurangan lebihannya?

Untuk belanjawan 2001 pula sekali lagi kakitangan kerajaan disogokkan dengan kenaikan amaun pinjaman rumah dan kenderaan pula. Belum sempat ramai yang memohon pinjaman tersebut, Proton menaikkan harganya pula.

Sudahlah nilai pinjaman kenderaan yang diberi memang cukup-cukup untuk membeli kereta keluaran nasional sahaja, harga kereta kebanggaan ramai ini dinaikkan pula 5 peratus. Alasan yang diberikan kerana sudah lama tidak dinaikkan. Patutlah nilai duit RM kita ini semakin merosot, asal sahaja ada kenaikan harga yang diumumkan, alasannya sudah lama tidak dinaikkan.

Dan yang sedihnya kerajaan turut sama berpendapat sedemikian: Harga perlu dinaikkan sekiranya sesuatu benda sudah lama tidak dinaikkan. Jika beginilah pemikiran pakar ekonomi kita, sampai bila-bila pun nilai ringgit akan semakin merosot dari semasa ke semasa. Satu ringgit yang begitu besar pada zaman saya bersekolah, kini dianggap terlalu kecil walau oleh kanak-kanak yang belum bersekolahpun - "Pakcik tu bagi seringgit je duit raya... kedekut betulle".

Tambah malang lagi bagi kita rakyat Malaysia ini, kita seolah-olah dipaksa membeli kereta nasional ini. Bukan kerana ia murah tetapi kerana kereta yang diimport dimahalkan oleh cukai import yang melebihi nilai kereta itu sendiri. Nak taknak, kita terpaksa memandu Proton atau Perodua kerana itu sahaja yang kita mampu.

Akhir sekali, teruslah menyokong kerajaan sekarang kerana ia akan sentiasa memberi "imbuhan" kepada kita. Bukankah itu yang selalu kita buat dalam kerja seharian - menerima habuan?

.......................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com