Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


‘Pencuri’ selagi Umno gagal curi hati

Oleh : Aman Rais

George Soros berlagak samseng dalam pasaran wang, lalu dia digelar penyangak oleh akhbar negara ini dan disebut “moron” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Penyangak itu telah menyerang pasaran wang negara-negara Asia Timur tanpa belas kasihan semata-mata bagi memenuhi kepentingannya. Negara-negara itu, termasuk Malaysia, terjerumus dalam krisis ekonomi dan rakyat mereka menderita akibat perbuatan spekulator matawang itu. Oleh itu dia selayaknya dipanggil penyangak!

Rabu lalu, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar pula menuduh Umno “pencuri” kerana pemimpin parti itu menghentikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu tahun lalu.

Akibat ‘pencurian’ royalti itu, rakyat Terengganu umumnya menderita kerana kerajaan negeri gagal menyalurkan pembangunan kepada mereka.

Mahfuz membuat tuduhan itu ketika mengulas penangguhan perjumpaan perpaduan Melayu antara PAS dan Umno. Kenyataan beliau itu mendapat kritikan keras daripada para penyokong kerajaan. Ada yang menyifatkan Mahfuz kurang ajar dan keterlaluan kerana menuduh Umno sedemikian rupa.

Bagaimanapun, majoriti rakyat tidak terkejut dengan kenyataan Mahfuz itu. Mereka berpendapat apa yang dikatakan oleh anggota Dewan Rakyat dari Pokok Sena itu benar.

Walau mencuri seluar dalam

Memang rakyat dan kerajaan PAS Terengganu tidak menerima royalti minyak sedangkan mereka berhak ke atasnya. Royalti yang sepatutnya diberikan setiap tahun kepada negeri itu telah “diculik” dan amalan itu dinamakan istilah baru, ‘wang ehsan.’

Sejak 25 tahun lalu Terengganu menerima bayaran royalti daripada Petronas sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian antara kedua-dua pihak. Tetapi tidak semena-mena apabila PAS menguasai tampuk pemerintahan negeri itu, perjanjian itu terbatal. Hak rakyat dan kerajaan negeri itu bukan sahaja dinafikan, malah ‘dicuri.’

Jadi apakah panggilan yang layak diberikan kepada individu yang mencuri? Tidak mungkin kita memanggil dia sebagai ‘peliwat’ atau ‘pembunuh’ atau ‘penyangak.’ Gelaran yang paling tepat ialah pencuri - tidak kira, sama ada pesalah itu mencuri ayam, seluar dalam atau wang rakyat.

Pemimpin Umno terpaksalah menerima hakikat ini. Mahfuz tidak akan melontarkan gelaran itu tanpa sebab. Mengapa Dr Mahathir yang memanggil Soros sebagi penyangak tidak dianggap kurang ajar? Jawapannya mudah, sebab Soros sememangnya seorang penyangak! Begitu jugalah dengan kes yang menimpa Umno sekarang: Pencuri tetap pencuri.

Sepatutnya pemimpin Umno tidak melatah dan melenting apabila mendengar tuduhan Mahfuz itu. Kalau didiamkan sahaja, mungkin gelaran yang dianggap sebagai kurang ajar itu tidak akan diketahui rakyat.

Tetapi apabila Datuk Hishammuddin Hussein Onn, Datuk Suhaimi Ibrahim, Azalina Othman dan Dr Firdaus Abdullah memberi reaksi berlebihan - gelaran yang diberikan oleh Mahfuz itu akan melekat pada Umno dan boleh menjadi bahan lelucon sepanjang zaman.

Mereformasikan Umno

Mahfuz dan tindak-tanduknya tidaklah perlu dilayan berlebihan. Beliau bukannya pemimpin besar dalam PAS. Jangan jadikan kenyataan Mahfuz itu tempat melindungi segala kepincangan dan kelemahan Umno. Umno tidak akan lenyap daripada bumi Malaysia ini semata-mata kerana kenyataan Mahfuz. Kalau parti Melayu terbesar ini berpecah dan karam, keadaan itu adalah gara-gara ahli dan pemimpinnya sendiri.

Oleh itu apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin Umno sekarang ialah membaiki imej dan membersihkan parti daripada gejala-gejala negatif seperti politik wang, korupsi serta penyelewengan kuasa dan kedudukan.

Panggilan pencuri yang dilemparkan kepada Umno tidak dapat dibersihkan dengan mengkritik Mahfuz atau PAS, ia hanya boleh dicuci dengan keikhlasan memperjuangkan hak orang Melayu dan memerangi masalah-masalah moral yang melanda Umno sekarang.

Para pemimpin Umno boleh menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Mahfuz itu dan media massa boleh menyiarkan propaganda pro-Umno seluas-luasnya setiap hari tetapi semua itu tidak mungkin dapat mengubah fikiran rakyat selagi para pemimpinnya tidak berusaha serius untuk mereformasikan Umno.

Umno akan terus dianggap sebagai pencuri selagi ia gagal untuk mencuri hati dan minda rakyat.

........................................................
Petikan Malaysia Kini


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 24 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com