oleh : Aman Rais
Realiti sekarang, perpecahan dalam Umno semakin melebar. Tiada ahli parti termasuk pemimpin nombor wahid berani menafikan hakikat ini.
Bukti paling nyata wujud perpecahan itu ialah kemunculan semula ‘Team B’ yang berselindung di sebalik nama Badan Bertindak Melayu (BBM).
Kumpulan ini nampaknya sekali lagi dikepalai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Cuma tokoh nombor dua bertukar. Kalau dulu ia disandang oleh Datuk Seri (sekarang Tan Sri) Musa Hitam tetapi kini diambil alih oleh Tun Ghafar Baba.
Para penyokong kuat mereka pula masih orang yang sama: Datuk Suhaimi Kamarudin, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Tajuddin Abddul Rahman, Datuk Mazlan Harun dan Datuk Harun Idris. Semua mereka adalah ahli politik ‘pencen’ yang tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti ketika ini.
Kemunculan semula bayangan Ku Li menerusi BBM tidak mengejutkan para pemerhati politik. Walaupun putera raja Kelantan itu telah diketepikan daripada arus perdana kepimpinan parti dan negara sejak setahun lalu, namun pengaruhnya masih menghantui pemimpin semasa Umno.
Walau berjaya digagalkan dalam percubaannya untuk merebut jawatan tertinggi parti dalam pemilihan parti Mei tahun lalu atas sebab-sebab teknikal, Ku Li masih dianggap sebagai satu kuasa yang dihormati dalam Umno.
Beliau mempunyai kelompoknya sendiri. Ku Li masih mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi dan apabila berlaku krisis keyakinan antara orang Melayu dengan parti itu, beliau dilihat sebagai tokoh yang diharapkan untuk mengambil alih kepimpinan Umno yang semakin lemah sekarang.
Walau bekas Menteri Kewangan itu hanya mendiamkan diri apabila Umno dilanda isu demi isu dan masalah demi masalah, tetapi Ku Li tetap dilihat sebagai cabaran alternatif kepada Presiden, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Abdullah Ahmad Badawi.
Mahathir cuba alih pandangan
Oleh itu apabila BBM dengan lantang menghentam kepimpinan Dr Mahathir, para pemerhati politik mentafsirkannya sebagai satu ancaman kepada Pak Lah. Dipercayai pengaruh Ku Li di peringkat akar umbi jauh lebih kuat daripada Pak Lah. Ahli-ahli Umno mengakui asas politik Timbalan Presiden Umno itu di peringkat bahagian sangat rapuh.
Nama Ku Li dan seorang Naib Presiden Datuk Najib Tun Razak jauh lebih popular dan lebih disenangi oleh pemimpin-pemimpin di bahagian. Sentimen ini menyeluruh dan dikatakan semakin kuat sejak kebelakangan ini - terutama selepas kekalahan Barisan Nasional di Lunas.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh barisan kepimpinan Umno dalam menangani isu perpaduan Melayu dan penyusunan korporat semakin menyemarakkan sentimen anti Mahathir-Pak Lah.
Kini orang Umno bukan sahaja berani mengkritik kepimpinan Mahathir-Pak Lah ketika mesyuarat cawangan dan bahagian, malah secara terbuka seperti di akhbar-akhbar dan dalam perhimpunan raksasa yang asalnya dijadualkan untuk membicarakan agenda menentang musuh orang Melayu.
Senario ini amat memeranjatkan Dr Mahathir walau beliau cuba menutup pemberontakan terhadap kepimpinannya ini dengan isu-isu lain seperti ancaman Suqiu, ketegangan hubungan negara ini dengan Singapura dan sikap kurang ajar majalah asing terhadap dirinya.
Retak ini yang semakin membelah Umno juga menakutkan Pak Lah dan para penyokongnya. Oleh sebab itu dua pemimpin teratas Umno ini tidak memberikan reaksi yang ‘keras’ terhadap tindakan BBM menghentam mereka.
(Nota: Tulisan ini dihasilkan sebelum kenyataan Dr Mahathir di Sabah semalam berhubung BBM)
Dr Mahathir dan Pak Lah sekadar mengulangi ingatan kepada semua ahli supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik. Kedua-dua pemimpin besar Umno serba salah untuk bertindak keras terhadap penggerak-penggerak BBM kerana mereka tahu tindakan itu hanya akan menaikkan kemarahan ahli-ahli Umno.
Jika Ku Li, Ghafar, Ibrahim, Tajuddin dan Mazlan dikenakan tindakan disiplin, ia akan menyerlahkan amalan kediktatoran dalam Umno. Para penggerak BBM tahu Umno tidak akan bertindak terhadap mereka - lantas dengan yakin ia tidak mahu memohon maaf atas ‘ketelanjurannya.’ Sebaliknya menurut Ibrahim, satu siri perhimpunan yang sama akan diadakan di seluruh negara untuk “menegakkan hak istimewa dan ketuanan Melayu.”
Pak Lah berpaut pada PM
Dr Mahathir dan Pak Lah sebenarnya sedang tertekan. Itulah sebabnya para penggerak BBM serta pemimpin Umno lain seperti Datuk Shahrir Samad, Datuk Adam Hamid dan ramai lagi semakin lantang menuntut reformasi dalam parti.
Dalam keadaan Umno yang semakin kucar-kacir, Pak Lah yang dahagakan sokongan terpaksa berpaut pada Presidennya walau beliau tahu dahan tempatnya berpaut itu sudah reput. Beliau tahu jika Dr Mahathir mengundurkan diri dalam tempoh terdekat, kedudukannya belum tentu selamat.
Timbalan Presiden Umno itu sedar jika jawatan Presiden dikosongkan, berlaku pula perebutan sengit untuk semua jawatan tertinggi parti. Drama pertandingan pada 1987 akan berulang kerana Ku Li, Najib dan mungkin juga Musa Hitam akan terjun di gelanggang untuk mencabarnya.
Jentera penyokong Pak Lah belum bersedia untuk satu pertandingan sengit. Pak Lah dan anak buahnya belum teruji kerana beliau menang percuma dalam pemilihan tahun lalu sedangkan Ku Li dan Najib mempunyai jentera yang berpengalaman, berpengaruh dan licik.
Oleh itu walau majoriti ahli Umno dan rakyat mahu Dr Mahathir berundur segera, namun Pak Lah dan penyokongnya berdoa supaya Presiden Umno itu terus mengekalkan jawatannya, sekurang-kurangnya hingga tahun 2004. Lebih lama Dr Mahathir bertahan, lebih luas peluang bagi Pak Lah untuk mengukuhkan diri dan pengaruhnya.
Sebenarnya ‘pemberontakan’ terhadap Dr Mahathir ini lebih menakutkan Pak Lah kerana jika Presiden Umno itu pencen, Luncai-Luncai lain akan turut terjun bersama labu-labunya. Jika berlaku perebutan jawatan yang sengit, Umno akan karam buat kali kedua.
Biarkan si Luncai karam dengan labu-labunya, orang Melayu masih boleh cari kapal dan nakhoda baru.
.....................................................
Petikan Malaysiakini.com