Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mahathir diberontak BBM

oleh : Aman Rais

Perhimpunan ‘Tak Akan Melayu Hilang di Dunia’ anjuran segolongan pemimpin Umno pada Ahad lalu bukannya medan untuk mempertahankan hak orang Melayu tetapi gelanggang menghentam Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Puak properubahan dalam Umno telah menggunakan perhimpunan ini sebagai pentas untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan amaran mereka kepada kerajaan khususnya pucuk pimpinannya.

Mereka berselindung di sebalik nama Badan Bertindak Melayu (BBM) yang kononnya menganjurkan perhimpunan untuk menunjukkan kekuatan politik Melayu dan mempertahankan hak kaum itu tetapi jelas kini majlis ini mempunyai agenda tersirat.

Kumpulan ini yang sebahagian besar pemimpinnya terdiri daripada ahli politik Umno yang telah “pencen” daripada kerajaan atau arus perdana parti dengan berani dan lantang menyalahkan Dr Mahathir sebagai punca perpecahan orang Melayu dan masalah dalaman Umno.

Keberanian mereka - antaranya bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 dan orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah - amat mengejutkan kerana selama ini orang ramai beranggapan ‘yang tinggal dalam Umno sekarang hanya tunggul-tunggul kayu dan pak turut.’

Datuk Ibrahim Ali, Datuk Mazlan Harun, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Zakaria Said dengan beraninya mengingatkan Presiden Umno supaya mendengar pendapat ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Mazlan dalam ucapannya menegaskan, Dr Mahathir memang diakui sebagai seorang pemimpin berwawasan tetapi hendaklah bersedia mendengar suara daripada bawah.

Ibrahim yang menjadi Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu memberi amaran jika pemimpin kerajaan dan Umno berterusan melakukan kesilapan, orang Melayu tidak akan teragak-agak untuk mengajar mereka.

Bekas orang kuat Dr Mahathir ini secara terus terang menyalahkan bekas ketuanya itu sebagai punca perpecahan orang Melayu dan segala masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang.

Beliau mengalas kritikan kerasnya terhadap Presiden Umno itu dengan mengatakan Datuk Fadzil Noor, Dr Wan Azizah Ismail, Abdul Hadi Awang (Menteri Besar Terengganu) dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad turut menjadi punca perpecahan itu.

Ibrahim sebenarnya melepaskan geramnya kepada Dr Mahathir tetapi pada masa yang sama cuba menunjukkan sikap ‘berkecuali,’ lembut dan adil dengan mengaitkan nama beberapa nama pemimpin parti pembangkang dalam masalah itu.

Topeng niat sebenar

Perhimpunan ini juga dengan jelas menuduh kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab menghakis kepentingan dan hak orang Melayu, bukannya orang bukan Melayu seperti yang digembar-gemburkan.

Jelas sekali perhimpunan ini telah ‘menyimpang’ daripada matlamat asal walau ucapan-ucapan mereka itu turut meyelitkan isu hak istimewa orang Melayu seperti biasiswa, peluang perniagaan dan pemilikan ekuiti serta menyebut tentang ancaman Suqiu dan orang asing.

Oleh itu tidak menghairankan mengapa Dr Mahathir tidak begitu menyenangi penganjuran perhimpunan ini apabila beliau menegaskan, sehari sebelum itu, ia “tidak ada kena mengena dengan Umno” dan melarang ahli parti daripada menyertainya.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, mungkin beliau telah dapat menghidu agenda tersirat majlis ini. Lalu beliau menghantar isyarat kepada pemimpin-pemimpin Umno agar tidak melibatkan diri dengan majlis ini.

Pemimpin Umno yang kritis termasuk Datuk Shahrir Samad (kecuali Datuk Khalid Yunus dan Datuk Drs Suleiman Mohammad) tidak hadir sedangkan majlis ini adalah untuk memperjuangkan hak Melayu. Keadaan ini amat bertentangan sekali dengan slogan “hidup Umno, hidup Melayu.”

Pemerhati politik yang menghadiri majlis itu berpendapat, tema perjuangan Melayu dalam perhimpunan ini hanya topeng untuk menutup niat sebenarnya.

“Kalau diteliti ucapan-ucapan mereka, jelas sekali tujuan utama perhimpunan ini ialah untuk menghantar mesej kepada Dr Mahathir supaya berundur.

“Mereka membangkitkan pelbagai kelemahan kerajaan termasuk operasi menyelamatkan Tan Sri Tajuddin Ramli dalam pembelian semula saham syarikat penerbangan MAS pada harga RM8 seunit untuk menonjolkan kesilapan dan kelemahan Dr Mahathir.

“Mereka menghantar salam kepada Dr Mahathir supaya melihat ke bawah dan jangan menganggap dirinya lebih besar daripada parti,” tegas seorang veteran Umno yang turut menghadiri perhimpunan itu.

Seorang aktivis muda Umno pula berkata, keputusan perhimpunan ini yang menuntut supaya diwujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kedua jelas menunjukkan rasa tidak berpuas hati orang Melayu terhadap dasar-dasar ekonomi Dr Mahathir dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

“Ahli-ahli parti mahu kerajaan dan Dr Mahathir kembali kepada perkara asas yang selama ini diabaikan. Kerajaan sejak 10 tahun lalu terlalu mengutamakan pembentukan sekumpulan elit korporat Melayu hingga melupakan keperluan petani, nelayan dan orang kampung,” jelas beliau.

Mood atau senario dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira 4,000 orang Melayu itu jelas menunjukkan rasa tidak senang orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Ketara sekali arus kebangkitan atau ‘pemberontakan’ terhadap Dr Mahathir semakin kuat walaupun di permukaan nampak tenang dan terkawal. Sambungan protes ahli-ahli Umno ini mungkin akan ditonjolkan dalam pemilihan di peringkat bahagian yang akan berlangsung mulai bulan depan.

Dapatkah Dr Mahathir membendung arus pemberontakan ini? Tunggu…

........................................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com