Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Penjelasan tentang laporan Berita keADILan

Kenyataan Media

Penjelasan tentang laporan Berita keADILan mengenai cadangan bagi percantuman keADILan-PRM

Adalah tidak benar bahawa Biro Politik Parti Keadilan Nasional (keADILan) telah mempersetujui percantuman keADILan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Biro Politik tidak ada kuasa untuk bersetuju atau menolak sebarang cadangan tentang percantuman kedua-dua parti. Mengikut usul yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti pada 16 & 17 Jun 2000, hanya Perhimpunan Agung Khas (PAK) yang berhak membuat keputusan muktamad tentang percantuman KeADILan-PRM melalui proses perbahasan "secara demokratik".

Biro Politik dalam mesyuaratnya pada 6 Februari, secara kebetulan, dipengerusikan oleh Presiden parti, Dr. Wan Azizah Ismail, (dan bukan saya) telah menerima pandangan daripada kesemua ahli-ahlinya mengenai "kertas dasar tentang percantuman keADILan dengan PRM" yang disediakan oleh kumpulan-kumpulan perunding kedua-dua parti. Kertas dasar ini, bersama dengan rumusan pandangan ahli-ahli Biro Politik telah pun diedarkan kepada semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). MPT yang akan bermesyuarat tidak berapa lama lagi, akan melalui muafakat mengemukakan pendiriannya pada Perhimpunan Agung Khas itu nanti. Seperti yang dinyatakan terdahulu, Perhimpunan Agung Khas (PAK) yang akan membuat keputusan tentang percantuman keADILan-PRM.

Proses membuat keputusan secara demokratik ini yang dipersetujui dalam Perhimpunan Agung Tahunan tahun lalu adalah selaras dengan jadual yang dicadangkan oleh kedua-dua pasukan perunding kedua-dua parti dalam kertas dasar mereka. Mengikut jadual tersebut, keADILan dan PRM berharap untuk menyelesaikan keseluruhan proses perbincangan, perbahasan dan membuat keputusan dalam parti masing-masing menjelang Jun 2000.

Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk ditegaskan bahawa sebagai sebuah parti yang mempertahankan prinsip-prinsip dan nilai-nilai demokrasi, keADILan mengakui bahawa dalam sesuatu isu yang kritikal seperti percantuman dengan parti yang lain, kuasa muktamad untuk membuat keputusan terletak pada ahli-ahli. Tidak ada individu atau kumpulan dalam parti yang berhak mengambilalih kuasa itu. Menghormati hak ahli-ahli biasa untuk mengemukakan pandangan tentang percantuman antara keADILan dan PRM adalah satu daripada ciri "politik baru" yang diperjuangkan oleh keADILan.

Akhirnya, secara peribadi saya berpendapat bahawa cadangan kedua-dua parti untuk bercantum adalah sesuatu yang baik. Ia akan menyumbang ke arah memperkukuh politik berbilang kaum dan mempertingkatkan perjuangan Barisan Alternatif untuk menegakkan Malaysia yang adil. Tetapi saya tidak akan memaksa keahlian keADILan menerima pendirian saya ini samada melalui cara halus atau ketara.

Dr. Chandra Muzaffar
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)

16 Februari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 18 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com