Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Surat SUA kepada Editor Media

12 Februari 2001 / 18 DhulQaedah 1421

Saudara Pengarang,

Parti Keadilan Nasional [keADILan] secara tegas mengulangi bahawa Parti kami - Parti Keadilan Nasional yang singkatannya keADILan - adalah sebuah parti berbilang kaum yang berteraskan Melayu.

Parti berbilang kaum yang berteraskan Melayu ini telah menggariskan dengan sejelas-jelasnya sejak awal-awal lagi di dalam prinsip-prinsip panduan Parti; bahawa keADILan mendokong prinsip Raja Berpelembagaan, menghayati Islam sebagai agama persekutuan, mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan mempertahankan kedudukan istimewa kaum Melayu serta Bumiputra Sabah dan Sarawak.

keADILan amat kesal dan amat tidak berpuas hati dengan usaha-usaha pemimpin UMNO, khususnya Dr. Mahathir yang terus mengelirukan takrif dan jatidiri Parti ini menerusi media arus perdana. Perbuatan mengulang-ulangi pemberitaan dan penyelewengan fakta asas mengenai takrif diri kami kononnya keADILan bukannya parti Melayu dan tidak langsung berminat kepada kepentingan orang Melayu adalah suatu permainan politik kotor bagi mengelirukan orang ramai. Permainan ini terbukti daripada perbuatan pihak media yang terus mengulanginya walaupun penjelasan rasmi telah dibuat oleh keADILan sebelum ini. Melalui permainan politik ini mungkin pihak-pihak tertentu mengharapkan akan timbul keraguan, kekaburan dan syak wasangka masyarakat umum khususnya masyarakat Melayu terhadap Parti ini.

keADILan sejak awal lagi mempertahankan asas-asas Perlembagaan yang amat penting bagi masyarakat Melayu dan komuniti-komuniti lain di negara ini. keADILan bertekad membela nasib majoriti Melayu dalam ekonomi, politik, sosial dan budaya di samping menentang perancangan segelintir manusia yang membolot kepentingan majoriti kaum Melayu. Penentangan keras keADILan terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan golongan elit adalah demi kepentingan semua di mana kebanyakan mangsa kemungkaran ini adalah orang Melayu sendiri.

Oleh itu, untuk kesekian kalinya kami ingin sekali lagi menegaskan dan akan terus menegaskan bahawa Parti Keadilan Nasional adalah sebuah parti berbilang kaum yang berteraskan Melayu. Sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan nasib semua rakyat negara ini tanpa mengira keturunan maupun kepercayaan. Inilah takrif diri Parti ini sejak ia dibentuk dan dilancarkan pada 04 April 1999 lalu. Tiada siapa yang berhak dan boleh mengubah, mempertikai atau mengelirukannya. Mempertikaikan takrif dan jatidiri Parti Keadilan Nasional dengan sebegitu rupa adalah suatu percubaan khianat politik yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Semoga rakyat tidak terpedaya dan akan dapat menghakimi serta mengadilinya dengan sebaik-baiknya.

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional [keADILan]


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 14 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com