Assalamu`alaykum / salam sejahtera
Dilampirkan kenyataan berkenaan untuk perhatian dan makluman.
Maaf agak terlewat - semalam komputer buat hal.
Terima kasih.
4499
================================================================
Kenyataan Media: 30 Januari 2001
PENDIRIAN keADILan TIDAK BERUBAH
Parti Keadilan Nasional [keADILan] tetap dengan pendirian untuk tidak menyertai perbincangan "perpaduan" Melayu sepertimana yang terkandung dalam kenyataan keADILan bertarikh 08 Januari 2001 lalu. keADILan tidak bercadang untuk mengubah pendirian sebulat suara yang dibuat di dalam Mesyuarat Ke-19 Majlis Pimpinan Tertinggi pada tarikh tersebut. keADILan ingin menegaskan bahawa laporan akhbar semalam dan hari ini yang menyebut kononnya Parti ini bersedia untuk menyertai semula perbincangan mengenai "perpaduan" Melayu adalah suatu yang tidak benar, palsu dan bohong sama-sekali. Parti Keadilan Nasional amat tidak berpuas hati dengan akhbar-akhbar arus perdana yang telah memutar-belitkan percakapan Ketua Pemuda keADILan berhubung dengan isu ini. Parti Keadilan Nasional sekali lagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan tabiat buruk media arus perdana yang terus-menerus memutar-belitkan kenyataan pemimpin-pemimpin keADILan dan melanggar etika kewartawanan, semata-mata untuk melaksanakan agenda kotor pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
keADILan tidak akan berganjak sedikitpun daripada pendirian rasmi kami. keADILan tidak akan terlibat dengan agenda UMNO untuk membincangkan isu "perpaduan" Melayu, yang pada hemat kami adalah gembar-gembur para pemimpin UMNO yang sedang gelabah dan ketakutan dengan anjakan sokongan orang Melayu kepada Barisan Alternatif. Bagi kami isu utama hari ini ialah krisis keyakinan terhadap pucuk pimpinan negara dan juga isu-isu besar yang lain yang melibatkan penyalah-gunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, keganasan polis, pengurusan ekonomi yang lemah dan sistem kehakiman yang dibolosi oleh kuasa eksekutif. Pimpinan UMNO dan BN harus mengakui bahawa kezaliman dan penganiayaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah juga faktor utama yang menghilangkan rasa hormat dan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN. Selagi isu-isu berkenaan tidak ditangani secara telus dan bertanggungjawab, UMNO dan BN jangan bermimpi di siang hari untuk memulihkan sokongan rakyat kepada mereka.
Kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan media arus perdana, saya ingin menasihatkan mereka supaya berusaha membuang tabiat-tabiat buruk yang "menjahanamkan" diri mereka sendiri di mata rakyat.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung